Home Berita PAS Terengganu

KHIDMAT Tanpa Imbuhan

4
SHARE

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Para petugas Khidmat Malaysia yang menjalankan tugas di posisi masing masing adalah tanpa imbuhan daripada mana mana pihak.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid menyatakan hanya balasan daripada Allah yang diharapkan dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

“Alhamdulillah, setelah satu dekad penubuhan Khidmat Malaysia, ianya mula dikenali oleh masyarakat Malaysia dengan pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Walaupun kita bertugas tanpa mendapat sebarang imbuhan atau elaun daripada mana mana pihak, namun teruskanlah berbuat baik kerana ianya adalah salah satu ibadat yang dituntut oleh Islam.

“Oleh itu, berlumba lumbalah kita dalam berkhidmat kepada mereka yang ditimpa musibah terutama ketika banjir ini dengan sepenuh dan seikhlas hati kerana nescaya ianya akan diberi ganjaran oleh Allah nanti,” ucapnya.

Beliau yang juga selaku Pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman berucap di hadapan kira kira 500 sukarelawan yang hadir di Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Peringkat Daerah Kemaman 2024 di bandar Cukai pada 22 November lalu.

Sementara itu di majlis yang sama, Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Yang Berhormat Haji Hanafiah Mat selaku perasmi majlis tersebut menyatakan syukurnya kerana berjaya melepasi gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini.

“Alhamdulillah, dengan komitmen kuat daripada agensi yang terlibat kita menjayakan menghadapi fasa pertama MTL ini dengan jayanya walaupun sedikit kecoh kerana ianya berlaku secara serentak pada satu masa.

“Menurut ramalan yang dibuat, gelombang kedua hujan MTL iaitu bermula 27 November sehingga 3 Disember nanti, hujan akan turun pada puratanya sebanyak 900 milimeter dalam tempoh tersebut.

“Maka itu, marilah kita sama sama berdoa agar hujan yang akan turun nanti adalah hujan yang biasa biasa sahaja, hujan yang dapat ditangani oleh para petugas kita, dengan izin Allah,” katanya.

Majlis diakhiri dengan gimik simulasi banjir melibatkan alat komunikasi, peralatan menyelamat mangsa banjir dan keadaan di Pusat Pemindahan Sementara.