MARANG – Pusat Khidmat Masyarakat Alur Limbat mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk terjejas susulan masalah paip air bocor yang berlaku di dasar sungai dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut sejak minggu lalu.
Wakilnya, Sabudin Ahmad berkata, misi membawa bantuan air ke Besut itu disertai seramai 15 orang dari Khidmat Malaysia Malaysia membabitkan Dewan Undangan. Negeri (DUN)Alur Limbat dan juga Rhu Rendang.
“Manakala jentera yang terlibat terdiri empat buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang setiap kenderaan ini dilengkapi dengan tangki air,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, katanya bekalan air bersih telah berjaya diagihkan ke lebih 200 buah rumah pengguna melibatkan dua kawasan iaitu di Taman Marwadah dan Taman Setia di DUN Kota Putera.
“Jadi dalam operasi kali ini kita akan hantar air dari rumah ke rumah, ” ujarnya.
Terdahulu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kebocoran paip tersebut telah mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di daerah tersebut.
Katanya, kebocoran paip bersaiz 600 mm itu mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Januari nanti, sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.
Bagaimanapun katanya, sebanyak enam lori tangki air dan 49 tangki statik sedang ditempatkan di kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.