“Saff Bahtera BPPNS” | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Abu Aslah Al-Qudsi
Serdang | Setelah mendapat kondisi terkini dari pihak Timbalan Menteri MOSTI beberapa hari yang lalu bagi tujuan merancang bentuk khidmat sumbangan yang boleh diberikan, Khidmat Malaysia Negeri Selangor telah membuka tabung dan menyerahkan sumbangan kepada pihak yang berkenaan.
Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Selangor Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh ketika di hubungi memaklumkan bahawa Khidmat Malaysia Negeri Selangor (KMNS) dengan kerjasama beberapa NGO di bawah penyelarasannya telah menyampaikan sumbangan kepada pertugas Barisan Hadapan dan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Menurut beliau, sumbangan kali ini berupa bantuan makanan, minuman, “face mask” dan pakaian perlindungan (PPE) termasuk 500 naskhah Al Quran bagi pesakit Muslim memenuhi masa mereka membaca Al Quran di sana. Keseluruhannya sumbangan berjumlah RM10 ribu ini telah diterima sendiri oleh Timbalan Pengarah 2 PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Kolonel (Dr) Aeriza binti Dato Mohd Yusak dan juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat operasi PKRC Dewan MAEPS.
“Untuk makluman, KMNS mengambil inisiatif menubuhkan pasukan Task Force 2.0 yang terdiri dari beberapa agensi dibawah PAS dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGO bagi membantu memenuhi keperluan pertugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 di hospital dan Pusat kuarantin di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia Negeri Selangor. Ianya kesinambungan dari Task Force 1.0 ketika PKP tahun lepas”, jelas beliau lagi.
Ustaz Noor Najhan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor menggerakkan KMNS bersama NGO-NGO yang sememangnya telah dikenali dengan kerja-kerja kebajikan antaranya Syabab Care, Papisma Selangor, Bekawanis, DAIE dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor.
Keperluan yang sangat diperlukan ketika ini hasil maklumat yang diterima oleh Task Force 2.0 adalah seperti topeng muka “face mask”, “face Sheild”, baju PPE, makanan segera, biskut, air mineral, air kotak, lampin pakai buang dan juga barang kebersihan diri seperti sabun mandi, ubat gigi, berus gigi dan sebagainya.
KMNS turut mengharapkan sumbangan orang ramai boleh terus disalurkan samaada dalam bentuk barangan atau wang ringgit kepada mana-mana NGO di bawah penyelarasan Task Force Khidmat Malaysia Negeri Selangor.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor