Home Berita PAS Kedah

Khidmat Malaysia perlu sediakan SOP hadapi bencana

176
SHARE

Oleh: MUHAMMAD IQBAL

KEMAMAN, 4 JUN –  Sukarelawan Khidmat Malaysia perlu dimahirkan dengan latihan pengurusan bencana banjir agar operasi bantuan dilakukan dengan cekap dan berkesan.

“Bencana hari ini kerap berlaku tidak spesifik kepada beberapa negeri seperti kebiasaan dahulu tetapi kini berlaku tanpa mengira tempat bahkan di Kuala Lumpur juga terjadi banyak kali,” ujar Ustaz Mohd Rosli Azmi, ahli jawatankuasa Khidmat Malaysia negeri Kedah.

Katanya standard operation procedure (SOP) pengurusan banjir perlu disediakan oleh pengurusan Khidmat Malaysia peringkat pusat agar operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah juga mengesyorkan latihan perlu dilaksanakan secara berkala dan modul tertentu.

“Kita lihat hari ini Khidmat Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu agensi sukarelawan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat maka garis panduan operasi perlu disiapkan dengan segera,” ujarnya.

Beliau ditemui semasa menyertai Program Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT 3.0) yang diadakan di Darul Iman Training Centre (DITC) di sini, hari ini.

Program memasuki hari kedua  hari ini melibatkan Latihan Keyakinan Dalam Air (Water Confidence) dan Tatacara Pengendalian Bot melibatkan lebih 160 orang peserta daripada seluruh negara turut disertai oleh YB. Dato’ Hajjah Siti Zailah Yusoff, Timb. Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat.  – Unit Media PAS Kedah