Home Berita PAS Pahang

Khatam al-Quran memantapkan diri muslimat memahami isi kandungannya

238
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 28 Mac – Muslimat diseru agar menjadikan al-Quran sebagai panduan dan petunjuk lengkap dalam kehidupan.

“Dalam Quran dinyatakan supaya orang perempuan yang beriman agar menundukkan pandangan mereka yang membawa maksud menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah,” kata Imam Masjid Umar Al-Khatab Chenderawasih Ustaz Zulfadli Zakariah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah dalam program Khatam Al-Quran Perdana di masjid tersebut hari ini anjuran Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (Helwa Care) Kuantan.

Tambahnya lagi dalam hadis Nabi SAW juga telah meminta Ummu Salamah RA dan Maimunah RA menutup aurat mereka ketika dikunjungi oleh Ibnu Ummi Maktum seorang lelaki yang buta.

Ujarnya lagi, aurat perlu dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun perempuan.

Sementara itu Pengarah Program Ustazah Zainah Mohamad berkata majlis itu diadakan bagi menghidupkan suasana Ramadan bersempena dengan sambutan Hari Nuzul Quran.

Ia juga sebagai pemangkin agar muslimat terus beribadat mengkahtamkan al-Quran di bulan-bulan berikutnya.

Program yang disertai 200 orang ini juga dihadiri oleh Pengerusi Helwa Care Kuantan Salwani Saleh bersama Ahli Jawatankuasa, Ketua Lajnah Alimat Ustazah Hashimah Ismail, Ketua Biro Muslimat masjid berkenaan Ustazah Norhayati Ibrahim dan muslimat sekitar Indera Mahkota.