Home Berita PAS Terengganu

Khatam 30 juzuk, 130 huffaz terima RM1,000 seorang

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kejayaan seramai 130 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini diiktiraf sebagai satu pencapaian luar biasa yang membuktikan ketekunan, disiplin dan kekuatan rohani generasi Ulul Albab.

Pencapaian tersebut melayakkan setiap pelajar menerima insentif khas berjumlah RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, insentif tersebut merupakan pengiktirafan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah istiqamah dalam penghafalan al-Quran sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran mereka di Imtiaz.

“Sebagai penghargaan atas usaha murni ini, setiap pelajar yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran akan menerima insentif Anugerah Hafazan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 bagi tahun 2025, yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Menurut beliau, gelaran hafiz dan hafizah adalah amanah besar yang wajib dijaga, bukan hanya untuk diumumkan dan dilupakan, tetapi perlu dipelihara sepanjang hayat sebagai warisan ilmu dan tanggungjawab terhadap umat.

“Ingatlah, ia merupakan satu amanah, bebanan yang ditinggalkan oleh Allah dan Rasulullah dan menjadi kebanggaan kita semua,” ujar beliau.

Tambah Satiful, seramai 384 pelajar Tingkatan Lima dan 16 pelajar Tingkatan Enam bergraduasi pada majlis tersebut, termasuk 70 pelajar yang menerima pelbagai anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan sahsiah, antaranya Tokoh Ulul Albab dan Anugerah Pelajar Terbaik.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini, serta ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sokongan.

“Tanpa keikhlasan para pendidik, mustahil pencapaian ini dapat dikecapi dan sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa tingkat lebih tinggi,” ujarnya.