Home Berita PAS Terengganu

Khairunnisa’ hulur bantuan kepada 100 mangsa banjir

14
SHARE

SETIU – Khairunnisa’ Terengganu menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat musibah.

Pengerusinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, program tahunan yang telah memasuki tahun keenam itu bertujuan meringankan beban golongan mangsa yang terlibat dengan musibah alam.

Selain itu, katanya, acara sebegini dapat mengeratkan hubungan antara pasukan Khairunnisa’, kepimpinan setempat, serta komuniti yang terlibat.

“Matlamat utama ialah sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan pihak kami terhadap rakyat di negeri ini.

“Di samping mengeratkan ukhuwah dengan mangsa banjir dan kami ingin mereka merasa  bahawa mereka tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sumbangan Banjir Khairunnisa’ Terengganu ke Kawasan Setiu di Dewan Sivik, Gong Terap, pada hari ini.

Tuan Faizah turut menjelaskan bahawa setiap tahun, Khairunnisa’ akan memilih satu kawasan untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir dan pada tahun ini, kawasan Setiu menjadi lokasi pilihan.

Tambah beliau, bantuan yang disampaikan berbentuk barangan dapur dan sumbangan wang tunai.

“Meskipun sumbangan ini tidak besar, ia diharap mampu membawa sedikit keceriaan kepada mangsa banjir yang diuji dengan musibah ini.

“Kehadiran kami adalah tanda cakna dan solidariti bersama mereka yang terkesan,” ujar beliau.

Selain di Terengganu, Khairunnisa’ turut menyampaikan bantuan ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan.

Tambahnya, Pasukan Khairunnisa’ dijadualkan ke DUN Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 Januari ini bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sana.

“Mungkin bantuan yang diberikan tak banyak mana tetapi boleh melahirkan rasa gembira ada orang cakna memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir.

“Semoga ujian yang diterima menatijahkan sesuatu yang lebih baik, seperti munculnya keindahan pelangi setelah berhentinya hujan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, RELA, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat yang banyak membantu semasa musim banjir

Justeru itu, Tuan Faizah berharap  dengan usaha kecil ini dapat meringankan beban merek dan memberi semangat baharu kepada mangsa banjir untuk terus bangkit.

Sementara itu, seorang penduduk DUN Jabi, Kamariah Mustafa, 63, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Khairunnisa atas sumbangan yang diberikan.

Menurut Kamariah, bantuan itu sedikit sebanyak telah meringankan beban yang dihadapinya selepas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Renek akibat banjir baru-baru ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Khairunnisa atas keprihatinan mereka terhadap nasib kami yang terjejas.

“Sumbangan ini benar-benar membantu meringankan beban kami, terutama selepas segala penat-lelah berpindah demi keselamatan dalam meneruskan kehidupan selepas bencana,” katanya ketika ditemui.