Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ketua Muslimat Menziarahi Waris Almarhum Ustaz Yusuf Awang

224 views
SHARE

Ketua Muslimat Menziarahi Waris Almarhum Ustaz Yusuf Awang

1 Disember 2018, Perlis – YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, dalam kesibukan dengan jadual harian beliau berkesempatan menziarahi ahli keluarga Almarhum Ustaz Yusuf Awang di perumahan Ma’ahad Tahfiz Imam An Nawawi (MATIN), Perlis pada 30 November yang lalu.

Memetik kata-kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; “PAS Kedah kehilangan seorang ulama muda yang banyak memberi sumbangan kepada dakwah Islam termasuk penglibatannya di institusi pendidikan”. Almarhum meninggal dunia di usia 47 tahun pada petang 6 November yang lalu. Almarhum juga merupakan seorang aktivis PAS yang melibatkan diri di dalam parti sejak di usia muda. Kehilangan ini juga bahkan dirasai oleh semua ahli PAS di seluruh negara.

Almarhum Ustaz Yusuf Awang telah meninggalkan seorang balu yang juga berusia 47 tahun iaitu Puan Azura dan 6 orang anak, 3 lelaki dan 3 perempuan. Kehadiran YB Senator Ustazah Nuridah disambut mesra oleh Puan Azura. Walaupun kehilangan itu masih terasa, namun beliau tetap ada kekuatan untuk berkongsi cerita tentang Almarhum sebelum Almarhum meninggalkan kita semua.

Menurut Puan Azura, Almarhum Ustaz Yusuf baru tahu tentang bengkak pada hatinya 3 bulan sebelum meninggal dunia. Namun begitu, ianya tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk terus berdakwah, bahkan di saat-saat akhir pun almarhum masih lagi sempat menyampaikan kuliah. Almarhum juga merupakan seorang yang mudah mesra.

Turut hadir bersama YB Senator Ustazah Nuridah dalam ziarah semalam ialah Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Malaysia, Puan Norhafiza Fadzil, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Negeri Perlis, Puan Jaliah Mohd Zakhir bersama ahli jawatankuasa LKK, Puan Maria dan Ketua Briged Muslimat Negeri Perlis, Saudari Nur Izzati.

Di akhir ziarah tersebut, YB Senator Ustazah Nuridah telah menyerahkan sedikit sumbangan buat Puan Azura dan juga anak-anaknya serta mendoakan agar Puan Azura terus tabah dan kuat atas kehilangan ini.