Home Berita PAS Terengganu

Ketua Jabatan diminta kaji prosedur kerja lapuk

59
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ketua Jabatan di negeri ini diminta untuk mengkaji semula mana-mana prosedur kerja lapuk dan perlu dibuat pengemaskinian.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia berkata, semua Ketua Jabatan perlu membuat sekurang-kurangya satu Reformasi Prosedur Kerja bagi jabatan masing-masing.

“Jika proses-proses atau birokrasi dipermudahkan maka ruang untuk rasuah itu berlaku semakin mengecil dan akan hilang terus apabila tahap integriti pegawai dipertingkatkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, satu panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepatkan perlaksanaan reformasi karenah birokrasi telah digariskan dalam Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan yang telah dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 baru-baru ini.

“Ia bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Ketua Jabatan supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan semua warga kerja jabatan tidak melakukan kesalahan dari segi tatakelakuan dan integriti.

“Ketua Jabatan seharusnya tidak menyembunyikan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh warga kerja jabatan atas dasar untuk menjaga imej jabatan/ketua jabatan.

“Sebarang kesalahan hendaklah dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” ujar beliau.

Sementara itu katanya, penjawat awam perlu berwaspada dan peka dengan sebarang peraturan, pekeliling, garis panduan dan arahan-arahan semasa dalam menjalankan tugas agar tidak melanggar prinsip integriti.

“Selain di peringkat jabatan, amalan integriti seharusnya terlebih dahulu bermula dari diri individu itu sendiri.

“Kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai integriti seharusnya ditanamkan dalam diri kita terlebih dahulu,” ujarnya.