Home Berita PAS Terengganu

Keterlanjuran Kerajaan Lebih Berpotensi Jatuhkan Putrajaya, Bukan Tulisan Presiden PAS

73
SHARE

PAS berasa hairan dengan respons melulu dan rumusan sewenang-wenang Setiausaha Agung DAP, YB. Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa Presiden PAS YB. Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang cuba mengheret DAP dalam isu Titah Addendum melibatkan kes semakan kehakiman bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Menteri Pengangkutan itu yang merujuk kepada tulisan terbaru Presiden PAS bertajuk “Pakatan Derhaka Mengoyak Topeng Raja Berperlembagaan” berkata, “tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu…”

Beliau turut membuat tuduhan liar lain terhadap PAS termasuk “cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim”, “memecahkan Kerajaan Perpaduan”, “amat gila kuasa dan gelojoh untuk merampas kuasa di Putrajaya”.

Bacaan teliti tulisan Presiden PAS itu mendapati ia sama sekali tidak menyebut atau mengaitkan DAP, baik secara tersurat atau tersirat, dengan Titah Addendum, Lembaga Pengampunan ataupun dengan isu pengampunan Dato’ Sri Najib yang hangat diperkatakan hampir setahun ini.

Justeru dakwaan dan tuduhan Loke terhadap Presiden PAS dan PAS adalah tersasar sama sekali, sebaliknya ia mendedahkan sentimen melulu beliau dan partinya terhadap PAS.

Ini tidaklah memeranjatkan kerana sejak sekian lama sentimen yang sama membentuk naratif standard DAP terhadap PAS untuk tujuan-tujuan politiknya. Bersekali dengan naratif ini, DAP juga sangat terkenal dengan naratif “victim mentality” sebagai helah menyorok keengganan dan ketidakmampuannya meminta maaf atau mengambil tanggungjawab ke atas tindak-tanduknya sendiri.

Selain itu, minda yang sama juga bertujuan mewajarkan sikap sewenang-wenang, kejam, tidak berhati perut, tidak peduli atau gasar kelakuannya terhadap orang lain, terutama pihak-pihak yang dianggap musuh.

Pembaca yang teliti akan dapat menangkap bahawa tema utama tulisan Presiden PAS itu berkaitan dengan status, keunggulan serta keutamaan institusi Raja Berperlembagaan, selain keperluan menghormati, mematuhi dan mempertahankannya daripada kecenderungan dan tindak-tanduk yang menyanggahi dan mencabarnya.

Selain peranannya sebagai tonggak penting pemerintahan, ia juga perlu dipertahankan sebagai payung dan pelindung tujuan-tujuan murni Islam, termasuk dalam isu-isu keadilan, kehakiman, ihsan dan maslahat rakyat.

Rujukan kepada DAP hanya dibuat berkait kedudukan dominannya dalam kerajaan dan bagaimana kedudukan itu dan citra parti tersebut mampu membentuk dan mempengaruhi pertimbangan atau keputusan-keputusan Putrajaya.

Dalam konteks isu-isu berkait kes Najib dan sekali lagi tanpa merujuk kepada DAP, Presiden PAS mempersalahkan kerajaan atas kecamuk yang berlaku, terutama melibatkan Titah Addendum dan surat daripada Istana Pahang berkait hal yang sama.

Presiden PAS menyifatkan kegagalan kerajaan menghormati dan mematuhi kedua- duanya sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan tujuan-tujuan murni agama dan kemanusiaan yang berkait dengannya.

Presiden PAS juga menempelak tindakan kerajaan yang dilihat mencabar dan memanipulasi institusi berkenaan bagi menutup kegagalan dan kelemahan Putrajaya.

Hakikat bahawa Istana Pahang perlu mengeluarkan surat khas bagi mengesahkan kewujudan dan kesahihan Titah Addendum DYMM Yang Dipertuan Agong ke-16 ialah tamparan keras terhadap tindak-tinduk kerajaan yang secara sengaja dan berterusan seolah-olah menafikan kewujudannya.

Malah dalam prosiding permohonan kebenaran (leave) semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan baru-baru ini, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang- undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-undang JPM dan Kerajaan Malaysia membantah dan meminta mahkamah menolak usaha Najib memasukkan keterangan baharu (fresh evidence), termasuk surat kebenaran dan pengesahan Istana Pahang mengenai kewujudan Titah Addendum.

Selain itu, peguam kerajaan juga dengan penuh ketegasan menggesa mahkamah menolak rayuan bekas perdana menteri itu mendapat kebenaran (leave) bagi menfailkan semakan kehakiman untuk memaksa (compel) responden-responden mengesahkan kewujudan Titah Addendum berkenaan dan mengambil langkah melaksanakannya.

Tidakkah hujahan peguam kerajaan ini mewakili sikap dan pendirian Putrajaya berhubung Titah Addendum dan surat pengesahannya daripada Istana Pahang?

Tidakkah tindakan menolak dan bantahan terhadap kedua-dua dokumen tersebut merupakan penderhakaan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, diri peribadi Yang Di-pertuan Agong Agong ke-16, iaitu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri?

Barangkali sebagai anggota penting kerajaan, ada baiknya Loke dan DAP harus memikirkan terlebih dahulu isu ini dan tulisan Presiden PAS semasak-masaknya sebelum membuat dakwaan melulu dan tidak matang itu.

Berhubung tuduhannya bahawa PAS bertujuan menjatuhkan kerajaan dengan apa jua cara, adalah lebih baik dan berfaedah sekirannya Loke dan DAP bertindak memperbetulkan keterlanjuran, kelemahan dan konflik dalaman kerajaan kerana ia lebih berpotensi menjatuhkan Putrajaya berbanding tulisan Presiden PAS ataupun sebarang usaha untuk mendapatkan pengampunan atau pelegaan hukum bagi Najib yang dibantah keras oleh DAP atas kepentingan dan pertimbangan kuasa semata- mata itu.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS Bertarikh: 08 Januari 2025