Home Berita PAS Pusat

Kesyahidan Urwah Bin Mas’ud: Pengislaman Bani Thaqif (27 Ramadhan 9)

1989
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN

KESYAHIDAN URWAH BIN MAS’UD: PENGISLAMAN BANI THAQIF (27 RAMADHAN 9)


KEPULANGAN Nabi SAW dari medan Tabuk disambut meriah oleh orang yang beriman, tetapi menjadi penghinaan kepada orang munafik yang bersekongkol dengan Rom untuk menyerang Islam. Ketibaan Nabi SAW rupanya ditambahi keberkatannya oleh Allah SWT kerana ia segera didatangi oleh Bani Thaqif, salah satu kaum yang menghina Baginda SAW sedekad yang lalu, ketika dakwah dikembangkan di Taif. Kerana gagalnya dakwah di Taif inilah, Nabi SAW berhijrah ke Yathrib, kota yang kini dikenali sebagai Madinah.

Taif, sebuah kota pertanian yang bersuhu rendah di tenggara Mekah menjadi pilihan Rasulullah SAW dalam misi dakwahnya. Ia berpunca daripada seorang pemimpin Bani Thaqif di Taif telah berkahwin dengan wanita Quraisy, manakala moyang Baginda SAW sendiri, Hasyim bin Abdul Manaf, juga mempunyai seorang isteri dari Bani Salim yang tinggal di Taif. Mereka diharapkan oleh Baginda SAW supaya dapat menerima Islam. Bani Thaqif ialah anak cucu kepada Amr bin Umair bin Auf bin Aqdah bin Ghirah bin Auf bin Thaqif. Mereka adalah pemimpin utama penduduk Taif.

Gagalnya Dakwah ke Taif: Allah Makbulkan Doa

Selepas kematian Abu Talib bin Abdul Mutallib dan Khadijah binti Khuwailid, Nabi SAW berasa sangat sedih, dalam masa yang sama orang Quraisy mulai mengganggu kerja-kerja dakwah setelah himayah (perlindungan) dari Abu Talib telah tiada. Baginda SAW cuba mendapatkan pertolongan dari Bani Thaqif di Taif, sekali gus melebarkan dakwahnya ke sana. Tetapi usaha Nabi SAW gagal apabila pemimpin Taif tiga bersaudara, Abdu Yalil, Mas’ud dan Habib bin Amr bin Umair bin Auf telah menolak dakwah Nabi SAW. Mereka sebalik merancang untuk berbuat jahat kepada Nabi SAW tetapi bimbang orang Quraisy membalas dendam, lalu diupah orang-orang bodoh untuk menghalau dan mencaci Nabi SAW sehingga Baginda SAW keluar dari Taif. Dalam peristiwa inilah Baginda SAW bertemu dengan seorang pemuda Nasrani bernama Addas di kebun milik Utbah bin Rabiah.

Ketika berada di kebun ini, Nabi SAW didatangi Jibrail yang meminta izin untuk bertindak ke atas penduduk Taif, tetapi Nabi SAW menolaknya kerana mengharapkan dari sulbi mereka lahir orang-orang beriman. Sebalik Nabi SAW berdoa, “Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Diriwayatkan bahawa, selain Addas yang beriman dengan Nabi SAW, turut beriman ialah delegasi Jin Nashibin yang bertemu dengan Baginda SAW di Nakhlah. Mereka telah beriman dan menyeru kaum jin untuk turut beriman kepada Nabi SAW. Selepas 10 hari di Taif, Nabi SAW kembali semula ke Mekah dengan harapan Bani Thaqif akan beriman kepada Allah suatu hari nanti.

Bani Thaqif Mendatangi Nabi SAW dan Menerima Islam

Ibnu Ishak mencatatkan bahawa ketika Nabi SAW menuju ke Madinah dari Tabuk, Baginda SAW didatangi oleh pemimpin Bani Thaqif, Urwah bin Mas’ud as-Tsaqafi. Beliau adalah anak kepada Mas’ud bin Amr bin Umair at-Tsaqafi yang pernah menolak dakwah Nabi SAW di Taif sebelumnya. Setelah beliau memeluk Islam, beliau diperintahkan mengajak kaumnya kepada Islam. Pada 27 Ramadhan 9H, Urwah bin Mas’ud tiba di Taif dan mengajak kaumnya kepada Islam, tiba-tiba dia dipanah ketika sedang menyeru kepada Islam, lalu syahid. Kerana syahidnya Urwah bin Mas’ud ini, penduduk Taif telah bermesyuarat dan bersetuju untuk masuk Islam. Mereka mengirimkan Abdu Yalil bin Amr bersama pemimpin Bani Malik, Bani Yasar, Bani Salim dan Bani al-Harith untuk menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan itu juga.

Bermula dengan Islamnya Bani Thaqif dan penduduk Taif, maka dalam tempoh selepas kepulangan dari Tabuk menyaksikan kabilah-kabilah Arab berbondong-bondong memeluk Islam sehingga turunnya Surah al-Fath, dan tahun 9H dinamakan Tahun Delegasi kerana banyaknya delegasi kabilah Arab datang memeluk Islam. Antara kabilah yang penting memeluk Islam ialah Bani Tamim, Bani Saad bin Bakr, Bani Abdul Qais, Bani Khanifah, Suku Thayyi, Kabilah Hamdan, Bani Zubaid, Bani Kindah, Bani Jurasy, gabenor Rom Farwah bin Amir, penduduk Najran dan raja-raja Himyar. Sehingga wafar Nabi SAW pada Rabiul Awal 10H, seluruh wilayah Tanah Arab telah tunduk kepada Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
27 Ramadhan 1439 / 12 Jun 2018