Home Berita PAS Pusat

Kesultanan Pattani: Pembangun Tamadun Ilmu Nusantara

1065
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 46

KESULTANAN PATTANI: PEMBANGUN TAMADUN ILMU NUSANTARA


PATTANI Darussalam adalah antara negeri Melayu yang mempunyai sejarah yang paling awal di Nusantara. Kemunculan kerajaan Langkasuka sejak tahun 200M, dikatakan oleh kebanyakan sarjana adalah berlokasi di Pattani hari ini. Beberapa sarjana terkemuka seperti Zainal Abidin Wahid, Mubin Shepard, D.G.E Hall, Paul Wheatly dan John Braddle adalah antara yang mengatakan bahawa Pattani adalah tapak kerajaan Melayu Langkasuka, di mana Jering dan Pujud adalah pusat kerajaannya. Dalam sejarah Majapahit yang dirakamkan oleh babad Negarakertagama, telah mengatakan bahawa ketika Majapahit melanda Langkasuka pada Abad ke-14M, ibukota Langkasuka terletak di Djere (Jering). Sebelum beragama Hindu, Langkasuka pernah beragama Buddha kerana mereka dikuasai oleh Sriwijaya sejak 775M, di mana kesan-kesan agama Buddha masih terdapat di Yala sehingga kini. Bahkan, ketika negeri-negeri Melayu di utara (dari Ligor hingga Retchburi) dijajah oleh Siam Ayuttaya, Pattani mempunyai kedudukan yang setaraf dengan empayar Siam itu – sebagai negeri yang merdeka. Beberapa pengkaji turut mengaitkan wilayah Pattani ini dengan kerajaan Melayu lama seperti Jawadwipa, Sampugita, Jawaka dan Melayur – kerajaan-kerajaan besar yang tercatat namanya pada prasasti-prasasti serta catatan China, Arab dan India, tetapi belum ada kajian yang serius untuk membongkarnya. Mewarisi kegemilangan ini, Pattani menjadi satu kuasa politik yang penting, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu dan penguasaannya ke atas perdagangan di Laut China Selatan.

Dengan bagasi sejarah yang hebat ini, Pattani yang telah mula menerima Islam sejak Abad ke-13M, kemudian bangkit menjadi sebuah kuasa politik Islam yang penting di kawasan utara dari abad ke-16M hingga abad ke-18M. Dua ciri utama kerajaan Islam di Pattani ialah peranan para ulamak yang begitu menonjol dalam pentadbiran kerajaan, dan kemudian para ulamak Pattani juga menjadi pemacu tamadun Melayu menerusi kegiatan keilmuan yang terbesar di Nusantara, menggantikan Aceh (Perlak, Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam). Pattani dianggap sebagai Serambi Mekah dalam keilmuan Islam pada abad ke-16M hingga abad ke-19M. Dengan fungsi keilmuan inilah Pattani mencipta nama sebagai sebuah kuasa politik Melayu terpenting di Nusantara. Namun begitu, faktor itu jugalah yang menimbulkan kecemburuan besar kuasa-kuasa politik bukan Islam, yang menyebabkan berlakunya konspirasi di antara kerajaan Buddha Siam dan kuasa-kuasa penjajah Barat, yang akhirnya menghancurkan Pattani bermula dengan perang Musuh Pattani pada 1786M. Kerana itu, ulamak besar Pattani, Sheikh Wan Ahmad Mohamad Zain al-Fathani menukarkan nama “Petani” yang bermaksud fitnah atau ujian, kepada “Fathani” yang bermaksud bijaksana, yang hari ini dieja dengan sebutan Siam sebagai “Pattani.”

Islam di Pattani: Kekeliruan Yang Belum Dirungkai

Peranan Pattani terhadap perkembangan keilmuan Islam terutama selepas abad ke-16M memang tidak dapat ditolak, tetapi yang masih menjadi persoalan ialah bilakah Islam mulai masuk ke Pattani. Kebanyakan pengkaji mengambil tahun peng-Islaman Raja Phya Tu Nakpa atau Raja Anthira Wangsa sebagai permulaan masuknya Islam ke wilayah bekas Langkasuka itu. Namun, ia telah dipersoalkan oleh beberapa fakta lain yang menunjukkan kemungkin Islam telah tiba lebih awal dari tahun 1457M. Sehingga kini, belum ada satu kajian atau catatan yang membuktikan secara konkrit tentang hal tersebut. Salah satu faktornya ialah kerana banyak maklumat sejarah Pattani telah musnah akibat konspirasi penjajah Siam dan Inggeris sejak tercetusnya Musuh Pattani pada 1786M. Beberapa perkara yang perlu diberikan pertimbangan dalam soal ini, antaranya:

I. Kedatangan pendakwah dari Arab sejak zaman Khulafa ar-Rasyidin
Berdasarkan satu sumber yang dikenali sebagai “Bingkisan Anak Bani Jawi,” Pattani dikatakan telah didatangi oleh pendakwah Islam seawal 658M, iaitu pada zaman Khulafa ar-Rasyidin (632-662M) apabila Sheikh Abdul Samad dari negeri Rom telah datang ke Pattani untuk mengajar orang Melayu membuat bedil. Ini menunjukkan bahawa Islam telah tiba di Pattani pada pertengahan abad ketujuh Masehi. Tinggal lagi tidak ada sebarang bukti bahawa agama Islam telah disebarkan ketika ini. Ia adalah relevan jika dibandingkan dengan kedatangan Islam di Aceh, iaitu ketika kehadiran Sheikh Rukunuddin yang dikirim oleh Rasulullah SAW pada 628M, kedatangan Saidina Saad Abi Waqqas ke Guangzhou (Canton) pada 651M, iaitu pada zaman Saidina Othman bin Affan (644-656M) dan juga penemuan batu nisan Sheikh Mukaidin di Barus, Aceh yang bertarikh 670M.

II. Islam dari China dan bukti prasasti
Salah satu data yang penting tentang kedatangan Islam di Pattani ialah kedudukan Pattani yang mengadap Laut China Selatan, iaitu wilayah yang menjadi tumpuan pelarian Islam dari Canton dalam rusuhan pada 877M. Di mana menurut Syed Naquib al-Attas, para pedagang Arab dan Parsi di Canton telah berhijrah ke Nusantara. Q.S Fatimi ketika menghujahkan tentang kedatangan Islam dari China menyebutkan kedudukan batu-batu nisan di Pahang (1028M), Champa (1039M), Brunei (1048M) dan Leran, Jawa (1082M). Ini menunjukkan pelabuhan dan kerajaan sepanjang Laut China Selatan, termasuk Langkasuka (baca: Pattani) menjadi tumpuan mereka.

III. Kewujudan kerajaan Islam sekitar Pattani
Kewujudan beberapa artifak seperti dinar emas Kelantan dan Batu Bersurat Terengganu, serta kronik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa telah membuktikan wujudnya kerajaan Islam di sekitar Pattani seperti Kedah (1136M), Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M) sebelum abad ke-13M. Dengan dikelilingi oleh kerajaan-kerajaan Islam ini, menunjukkan Islam telah bertapak kukuh di sekeliling Pattani sejak abad ke-12M lagi. Berkemungkinan besar Pattani telah menerima Islam ketika ini, seperti mana Kedah, Kelantan dan Terengganu. Peng-Islaman Raja Jawaka, iaitu sebuah kerajaan pecahan Langkasuka yang berpusat di Pattani sekitar 1253M adalah melengkapkan rangkaian ini.

IV. Islamnya Raja Jawaka
Kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu lama di selatan Segenting Kra telah dicatat dalam pelbagai prasasti dan juga kronik Melayu, selain catatan China, India dan Arab. Antaranya termasuklah Langkasuka, Sampugita, Jawaka Dan Malayur, yang secara relatifnya berpusat di kawasan Pattani. Raja Jawaka, Raja Sakranta (1253-1267M) dikatakan telah beragama Islam dengan nama Raja Zainuddin, manakala puteranya, Raja Sang Tawal (1267-1318M) yang terkenal itu memakai nama Raja Abdullah sebagai nama Islamnya. Selepas tewas diserang Siam, mereka mendirikan kerajaan di Bukit Panau, Kelantan di mana putera Raja Sang Tawal, Raja Bharubasha (1335-1362M) yang bergelar Sultan Mahmud Shah adalah raja Kelantan pertama memakai gelaran sultan. Mereka adalah raja-raja Langkasuka menurut kebanyakan riwayat, termasuk oleh Mohamed Abdullah (Nakula).

V. Kedatangan ulamak-pendakwah sebelum abad ke-15M
Menurut Wan Mohd Saghir Abdullah, kehadiran ulamak-pendakwah ke Pattani berlaku lebih awal dari peng-Islaman Phya Tu Nakpa pada 1453M. Sebagai contoh, dua ulamak dari Pasai, Sheikh Safiyuddin al-Abbasi dan Sheikh Said Barsisa yang meng-Islamkan raja Pattani merupakan ulamak sezaman dan bersahabat dengan Sheikh Gombak Abdul Mubin. Sedangkan Sheikh Gombak Abdul Mubin adalah anak kepada Sheikh Wan Abdul Jabbar, di mana datuknya, Sheikh Wan Muhammad Arifin Shah adalah ulamak pendakwah yang berdarah Arab dan bersaudara dengan Sheikh Muhammad Saman (Syed Thanauddin), iaitu adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra, ulamak-pendakwah yang tiba di Kelantan pada 1345M. Sheikh Wan Muhammad Arifin Shah yang terkenal dengan gelaran Tok Kelumpong di Pattani telah pun berdakwah di Pattani sejak pertengahan abad ke-14M, seabad lebih awal dari Islamnya Phya Tu Nakpa.

VI. Catatan de Eredia tentang Islam di Pattani
Seorang pengkaji dan penjelajah Sepanyol, Emanuel Godinho de Eredia yang melawat Pattani pada akhir abad ke-16M, telah mendakwa bahawa Pattani terlebih dahulu menerima Islam berbanding Melaka. Menurut catatan de Eredia yang bertarikh 24 November 1613M, “Agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad, buat pertama kalinya dianut oleh penduduk Melayu Pattani, kemudian baharulah diterima oleh Parameswara di Melaka…”

VII. Sejarah Melayu mengatakan ada sultan Melayu di Kota Mahligai sebelum pembukaan Pattani
Menurut Sejarah Melayu, Kota Mahligai adalah sebuah kerajaan Islam yang diperintah oleh Sultan Sulaiman Shah. Kerajaan ini telah diserang oleh Raja Cau Seri Bangsa dari negeri Siam. Setelah berjaya membunuh Sultan Sulaiman Shah, Cau Seri Bangsa memeluk Islam dan berkuasa di Kota Mahligai. Setelah itu, Raja Cau Seri Bangsa telah berpindah dan membuka kerajaan di Pattani, serta diberikan gelaran sebagai Sultan Ahmad Shah oleh Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka. Catatan Tun Seri Lanang ini menunjukkan kerajaan Islam telah wujud lebih awal sebelum berdirinya kerajaan Pattani.

Kesultanan Pattani: Beberapa Persoalan Yang Masih Diperdebat

Kedudukan Pattani turut menjadi persoalan para pengkaji tentang salasilah kesultanannya. Pertama, berkait dengan asal-usul keturunan sultan-sultan Pattani sebelum mereka memeluk Islam. Kedua, siapakah Raja Pattani yang pertama memeluk Islam dan apakah nama Islamnya. Kepelbagaian versi ini mempunyai kaitan dengan kemusnahan sumber-sumber sejarah Pattani ekoran serangan Siam pada 1786M. Dari sudut kronik Melayu, enam kronik yang mencatat tentang sejarah awal Pattani iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Langkasuka, Hikayat Pattani, Cetera Negeri Patani, Sejarah Melayu dan Tarikh Pattani. Namun, data-data yang bersimpang-siur telah menyulitkan pengkaji dalam memahami kedudukan sebenar asal-usul kerajaan Pattani.

Untuk perbincangan awal, ditinjau dahulu persoalan tentang siapakah Raja Pattani yang terawal memeluk Islam. Terdapat tiga versi utama dalam hal ini, iaitu:

I. Phya Tu Nakpa dan peng-Islamannya
Versi pertama mengatakan bahawa pengasas Pattani ialah Raja Phya Tu Nakpa yang membuka kerajaan Pattani sekitar pertengahan abad ke-15M setelah memindahkan kerajaan dari Kota Mahligai. Kemudian baginda di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa sekitar 1457M. Baginda bergelar Sultan Ismail Shah. Versi ini adalah berdasarkan Hikayat Pattani. Keturunan Raja Phya Tu Nakpalah yang membentuk dinasti raja-raja Islam di Pattani sehingga zaman Raja Kuning (1635-1649M).

II. Raja Anthira Wangsa: Adakah Pengasas Kesultanan Pattani
Versi kedua, menurut Cetera Negeri Patani, mengatakan kerajaan Pattani dibuka oleh putera Raja Seri Wangsa, iaitu Raja Anthira Wangsa (Indera Wangsa) yang berpindah dari Kota Mahligai. Setelah mengasaskan kerajaan Pattani, Raja Anthira Wangsa telah di-Islamkan oleh Sheikh Syafiyuddin dan bergelar Sultan Muhammad Shah, iaitu bapa kepada dinasti raja-raja Islam di Pattani yang berakhir dengan Raja Kuning (1635-1649M).

III. Versi Sejarah Melayu: Anak Raja Siam, Cau Seri Bangsa membuka negeri
Tun Seri Lanang dalam Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) mengisahkan pembukaan negeri Pattani bermula dari tindakan seorang putera raja Siam, Cau Seri Bangsa yang menyerang Kota Mahligai yang diperintah oleh seorang raja Islam, Sultan Sulaiman Shah. Baginda bersumpah akan memeluk Islam jika berjaya menguasai Kota Mahligai. Setelah menguasai Kota Mahligai, baginda pun masuk Islam. Kemudian baginda berpindah membuka negeri di Pattani, sebelum mendapatkan daulat dari Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. Sultan Melaka menamakan Raja Cau Seri Bangsa sebagai Sultan Ahmad Shah di atas nasihat Kadi Munawar.

IV. Versi keempat: Jalan keluar?
Sesetengah pengkaji mengatakan bahawa raja-raja Pattani adalah dari keturunan Raja Seriwijaya, Raja Jayawangsa yang memerintah sejak 750M. Hasil perkahwinan baginda dengan puteri Kedah dari keturunan Merong Mahawangsa, telah lahir Seri Wangsa yang dirajakan di Langkasuka Timur (Chaya). Putera Raja Seri Wangsa ini bernama Anthira Wangsa atau Indera Wangsa. Baginda yang memindahkan kerajaan dari Kota Mahligai ke Pattani sebelum membentuk Dinasti Seri Wangsa yang memerintah sehingga 1649M. Raja Anthira Wangsa dikatakan menurunkan generasi raja-raja Pattani selepasnya iaitu puteranya, Raja Andhiradha Wangsa dan cucundanya, Raja Andhiradha Seri Wangsa yang memerintah Pattani. Dari keturunan mereka lahirnya Phya Tu Nakpa sebagai Raja Pattani pada abad ke-15M. Menurut Hikayat Pattani, Phya Tu Nakpa atau nama asalnya Phya Tu Antara adalah putera raja yang berkerajaan di Kota Mahligai, Phya Tu Kerub Mahajana. Phya Tu Nakpa membuka Pattani dan di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa dari Pasai.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
17 Zulqaedah 1439 / 31 Julai 2018