Home Berita PAS Pusat

Kesultanan Melaka: Pusat Penyebaran Islam Nusantara

23221
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 32

KESULTANAN MELAKA: PUSAT PENYEBARAN ISLAM NUSANTARA


PERANAN terbesar Melaka dalam sejarahnya, mengatasi semua kerajaan Islam yang lain di Nusantara ialah menyebarkan Islam. Kedudukan politik yang dimiliki sebagai sebuah empayar dan pusat perdagangan terbesar di rantau ini, telah dimanfaatkan oleh Melaka untuk menukar seluruh kepercayaan asal orang Melayu yang berasaskan Hindu-Buddha, kepada menganut agama tauhid. Proses penyebaran Islam dilihat begitu mendadak di Nusantara bermula abad ke-14M dan dalam masa 200 tahun, hampir seluruh Nusantara telah berjaya di-Islam. Mungkin jika tidak kerana kehadiran penjajah Portugis pada 1511M, Islam akan dapat disebarkan lebih jauh lagi hingga ke kepulauan Pasifik termasuk benua Australia dan Oceania. Ternyata kehadiran kuasa politik Kristian ini telah membendung dan menghentikan proses dakwah dan penyebaran Islam kepada dunia yang lebih timur termasuk Farmosa (Taiwan), Indo-China, China, Manchuria (Korea) dan Jepun.

Walaupun gerakan dakwah dan penyebaran Islam terhenti akibat kedatangan kuasa politik Kristian, namun sejarah tidak dapat menafikan bagaimana besarnya peranan Melaka dalam menyebarkan Islam ke seluruh Nusantara tanpa melibatkan pertumpahan darah atau dakwah bukan melalui mata pedang. Tidak seperti perkembangan Islam di Asia Barat, Afrika Utara, Andalusia, Parsi, Transoxania dan India yang merekod perkembangan Islam melalui medan perang, wilayah Nusantara menerima Islam secara aman dengan hati yang terbuka. Ini kerana peranan Melaka yang telah bergerak menyebarkan Islam melalui gerakan dakwah para ulamak yang bergabung dengan kekuatan empayar Melayu Islam itu, akhirnya orang Melayu telah bertukar menjadi bangsa Islam. Berbeza dengan peng-Islaman beberapa etnik Melayu yang lain, kejayaan gerakan dakwah yang dimulakan pada 1404M melalui Majlis Dakwah Wali Songo ke atas orang Jawa telah berjaya meng-Islamkan pulau Jawa, sedangkan pulau ini mempunyai pendudukan yang paling padat di dunia. Sehingga hari ini, diakui bahawa orang Melayu dan Nusantara ialah komuniti Islam yang terbesar di dunia.

Kegiatan Ulamak di Melaka

Pemacu utama gerakan dakwah dan penyebaran Islam di Melaka ialah para ulamak. Sebelumnya, para ulamak telah bergerak di Perlak, kemudian dengan kebangkitan Melaka telah menjadikan negeri ini sebagai platform baru untuk menyebarkan dakwah, walaupun Samudera-Pasai kekal sebagai pusat keilmuan Islam. Antara kegiatan para ulamak dalam penyebaran dakwah di Melaka ialah:

I. Mengajar dan menyebarkan ilmu
Menyebarkan ilmu adalah asas yang mendatangkan hidayah Allah SWT kepada sesuatu bangsa. Dengan kehadiran ulamak-ulamak ke Melaka, semenjak ketibaan Makhdum Syed Abdul Aziz, majlis-majlis ilmu terus berkembang dari anjung istana hingga ke masjid-masjid dan surau-surau. Walaupun tidak ada catatan tentang kewujudan institusi khusus untuk pendidikan Islam, tetapi Sejarah Melayu mencatatkan proses pengajaran dan pembelajaran agama turut melibatkan sultan, kerabat istana, pembesar dan rakyat jelata. Sultan sendiri menitahkan supaya majlis ilmu Maulana Abu Bakar diikuti oleh para pembesar dan rakyat.

II. Berdakwah kepada Islam
Selain mengajar agama secara khusus, para ulamak juga telah bergerak dalam pelbagai pendekatan untuk mengajak para pedagang dan orang Melayu yang masih beragama Hindu-Buddha untuk bersama dengan Islam. Bermula dengan dakwah bil hal semasa berdagang sehingga menarik minat raja kepada Islam, sampailah majlis-majlis ilmu yang digerakkan, akhirnya seluruh rakyat Melaka memeluk Islam.

III. Menyalin dan menterjemah kitab
Bagi mengukuhkan kegiatan keilmuan di Melaka, kerja-kerja menyalin dan menterjemah kitab telah dibuat di Melaka. Walaupun belum ada kitab yang disebut secara khusus diterjemah atau disalin di Melaka, tetapi Tun Seri Lanang memberitahu bahawa kitab-kitab berbahasa Arab yang sukar difahami dibawa ke Samudera-Pasai untuk diterjemah. Ketika kitab Abu Ishak, Dur al-Maznum dibawa ke Melaka, sultan telah menitahkan supaya ia diterjemahkan oleh Makhdum Patakan di Samudera-Pasai, sebelum ditashihkan oleh Maulana Abu Bakar di Melaka. Proses menterjemah, mentashih dan menyalin kitab-kitab ini adalah antara kegiatan keilmuan di Melaka.

IV. Penasihat istana
Memandangkan seluruh sistem pentadbiran Melayu yang dibawa dari Palembang adalah dipengaruhi oleh elemen Hindu-Buddha, termasuk konsep “devaraja,” para ulamak telah berperanan sebagai penasihat-penasihat sultan dalam mewujudkan budaya pentadbiran Islam. Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Qadhi Yusof, Qadhi Munawar Shah dan Maulana Sadar Jahan adalah antara yang tercatat sebagai penasihat-penasihat yang berpengaruh di istana Melaka.

V. Pelaksanaan syariat
Selain menasihati sultan-sultan Melaka, sehingga sultan-sultan seperti Sultan Muhammad Shah, Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansor Shah, Sultan Alaiddin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah, disebut-sebut sebagai sultan berjiwa Islam dan berjasa besar kepada Islam, hasil daripada rapatnya baginda semua dengan para ulamak. Kemudian, proses perlaksanaan syariat bermula apabila penggubalan Hukum Kanun Melaka dibuat dan Islam dijadikan agama rasmi. Penglibatan ulamak dalam penggubalan undang-undang sangat jelas. Selain dipengaruhi oleh kitab-kitab fiqh Syafi’eyah, dalam versi Jakarta, dicatatkan penggubal undang-undang keluarga ialah Sheikh Abdul Ghoyu. Kemudian para qadhi telah berperanan pula dalam pelaksanaan undang-undang tersebut di mahkamah.

VI. Menyebarkan Islam ke seluruh Alam Melayu
Dari Melaka, para ulamak telah menyebarkan Islam ke Jawa, Mindanao, Brunei, Maluku, Sulawesi, Sumatera, Pattani dan lain-lain. Pergerakan ulamak melalui kapal-kapal dagang telah menyebabkan Islam tersebar dengan cepat.

Gerakan Dakwah Islamiyah

Dengan peranan yang meluas para ulamak di Melaka, gerakan Islam telah bermula dari urusan yang sekecil-kecilnya, sehingga kepada perlaksanaan syariat. Kemudian, para ulamak telah menyebarkan Islam di luar daripada istana, termasuk menyebarkan Islam di negeri-negeri yang baru dikuasai oleh Melaka, khususnya di Semenanjung. Sultan Melaka melantik putera baginda sebagai Sultan Pahang pada zaman Tun Perak sebagai tanda perluasan pengaruh Islam. Dalam masa yang sama Melaka mengiktiraf Sultan Kedah sebagai negeri naungan Melaka, dan meng-Islamkan raja Pattani untuk membuka wilayah Islam yang baru. Para ulamak dikirimkan ke wilayah-wilayah ini untuk berdakwah dan menyebarkan Islam dengan dukungan istana, sehingga akhirnya Islam dapat berkembang hingga ke Indo-China, iaitu dengan Islam-nya Che Bo Nga (Sultan Zainal Abidin) sekitar 1360M. Raja Jawaka di utara Pattani (Ligor / Nakhon Si Tamarat) juga memeluk Islam dengan memakai nama Raja Zainuddin (asalnya Raja Sakranta), dan pemerintah Kelantan, Raja Bharubasha telah bergelar Sultan Mahmud (1335-1362M). Keluarga Syed Hussein Jamadil Kubra disebutkan sebagai pendakwah yang paling banyak berperanan dalam dakwah di Kelantan, Pattani dan Champa sejak 1345M.

Dari Melaka juga, Makhdum Syed Abdul Aziz telah bergerak menyebarkan Islam di Mindanao sehingga pulau ini mulai menerima Islam pada pertengahan abad ke-14M, demikian juga Brunei dan Sulu. Dalam sejarah Sulu, Islam dikatakan disebarkan oleh Syarif Hashim dari Johor (Johor adalah wilayah Melaka), sedangkan Syarif Ali tiga beradik datang dari Taif ke Melaka, kemudian berdakwah di Brunei, Mindanao dan Maluku, sebelum menjadi raja di tempat masing-masing. Yang terbesar dalam penyebaran dakwah ini ialah kejayaan meng-Islamkan pulau Jawa, pusat kerajaan Hindu Majapahit, selain penaklukan pantai timur Sumatera yang dahulunya adalah wilayah kerajaan Buddha Seriwijaya, terutama Jambi. Dari Jawa pula, tersebar Islam ke pulau-pulau Nusa Tenggara dan Kalimantan. Sedangkan dari Sumatera, Islam berkembang ke Mindanao, Sulawesi dan Maluku. Demikian juga dari Pattani, pendakwah bergerak ke Brunei, Mindanao, Makassar dan Jawa, sehingga berlakunya silang dakwah antara wilayah, yang akhirnya menatijahkan peng-Islaman seluruh Nusantara.

Peranan Melaka Dalam Penyebaran Islam di Nusantara

Dari perbincangan di atas, kita dapat melihat bahawa Melaka telah berjaya menainkan peranan yang sangat berkesan dalam penyebaran Islam di Nusantara. Secara ringkas, peranan Melaka dalam penyebaran Islam adalah seperti berikut:

I. Gerakan dakwah seluruh Nusantara
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, gerakan dakwah ke seluruh Nusantara adalah antara agenda besar kerajaan Melaka, dan ia berjaya mengubah Nusantara menjadi sebuah rantau Islam.

II. Penyebaran ilmu Islam
Jika Seriwijaya pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu Buddha sejak abad ketujuh Masehi, Melaka telah memainkan peranan bersama Samudera-Pasai sebagai pusat keilmuan dan penyebaran ilmu-ilmu Islam. Kehadiran tokoh-tokoh ulamak dari Arab, Parsi, India dan lain-lain menghidupkan suasana ilmu melalui majlis-majlis pengajaran, muzakarah, penterjemahan, penulisan, penyalinan dan pembentukan maktabah. Pengaruh mazhab Syafie berkembang pesat kala ini, ekoran kemasukan kitab-kitab Syafi’eyah di Melaka.

III. Aplikasi undang-undang syariat
Kitab-kitab fiqh yang diajar di Melaka telah diterjemah dalam bentuk aplikasi pentadbiran sebuah kerajaan Islam. Contoh, kisah Sultan Alaiddin Riayat Shah yang berjaga malam untuk mencegah kemungkaran adalah aplikasi model Saidina Umar bin al-Khattab. Kemudian, hukum-hukum tersebut telah dikanunkan sebagai undang-undang negara. Menurut banyak pengkaji, undang-undang Islam yang diterapkan di Pahang, Perak, Kedah, Aceh, Brunei dan lain-lain adalah saduran daripada Hukum Kanun Melaka.

IV. Keamanan politik
Keberkesanan dasar-dasar luar Melaka dalam perhubungan dengan China, Mahapahit, India dan Arab telah berjaya menghentikan ancaman serangan musuh. Hal ini telah mewujudkan keamanan di Melaka sehingga bukan sahaja aktiviti perdagangan dapat bergerak lancar, tetapi juga dakwah dan pengembangan Islam.

V. Kegiatan perdagangan
Faktor perdagangan yang telah disebut sebelum ini adalah antara sebab penting yang mendorong perkembangan Islam. Oleh kerana Melaka adalah pusat perdagangan utama, maka kegiatan dakwah menjadi lebih berkesan menandangkan pergerakan pendakwah adalah melalui kapal-kapal dagang.

VI. Penubuhan kerajaan-kerajaan Islam yang baru
Walaupun Melaka runtuh diserang Portugis pada 1511M, tetapi Islam tidak dapat dihancurkan kerana banyaknya kerajaan Islam yang wujud pada abad ke-15 dan 16M di Nusantara, kesan daripada kewujudan Melaka. Di Jawa misalnya muncul kerajaan Demak, Banten, Ceribon dan Jepara, manakala kerajaan Brunei muncul di Borneo, Maguindanao dan Suluk di Midanao, Makassar atau Gowa di Sulawesi. Ternete di Maluku. Kemunculan kerajaan-kerajaan ini mewarisi perjuangan Melaka dalam menyebarkan Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
4 Zulqaedah 1439 / 17 Julai 2018