KUALA NERUS – Impian pasukan bola sepak Terengganu untuk melakar kejuaraan pada Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) diranapkan pasukan dari negeri pahang dengan kekalahan tipis 2-1.
Dengan menyenaraikan pemain terbaik dalam usaha Sang Penyu untuk memburu kejuaraan pada perlawanan peringkat suku akhir dalam kejohanan yang berlangsung di padang B Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT).
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tindakan kasar pemain Terengganu terhadap pemain Pasukan Pahang telah menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti yang akhirnya disempurnakan oleh penyerangnya, Amin Mohd Rosli pada minit ke-27.
Tersentak dengan jaringan gol pihak lawan, Sang Penyu cuba bangkit dengan mengatur strategi dan mencorakkan serangan bagi memastikan harapan ke separuh akhir kembali cerah.
Hasilnya, kelekaan pertahan lawan telah memberi peluang kepada pemain sayap Terengganu, Adeeb Firdaus Zainal Abidin menjaringkan sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-31.
Keputusan seri pada babak masa pertama kekal sehingga wisel ditiupkan.
Bersambung babak kedua, peluang terhidang buat Sang Penyu apabila hampir menjaringkan gol pada minit ke-39 menerusi Adeeb Hadif namun dipatahkan oleh penjaga gawang Pahang yang meluru keluar dari pintu gol.
Pada minit ke-48, tuan rumah akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Tok Gajah yang berjaya mencipta gol kedua menerusi Amin Mohd Rosli.
Keputusan itu kekal hingga tamat perlawan dan menyaksikan Sang Penyu berputih mata dengan kekalahan tipis itu.