Saya membaca surat khabar di meja wad Institut Jantung Negara (IJN) tentang kematian 7 orang pelajar tahfiz yang dalam perjalanan ke Program Tafsir Al-Quran di Kota Bharu dan mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, telah meruntunkan hati seorang ayah.
Saya mewakili PAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas ujian yang menimpa, didoakan anak-anak ditempatkan di Syurga bersama orang-orang yang soleh. Mereka meninggal dunia ketika sedang berjuang menuntut ilmu dan mengejar dunia akhirat demi menyuluh masyarakat dengan agama dan berkhidmat mempertahankan tanah air. Mereka mulia dan dimuliakan oleh Allah.
Kita perlu menginsafi dengan kes buli yang berulang kali dan semakin menjadi-jadi disekolah dan universiti. Kita kena sedar bahawa manusia ada jasad, ruh dan akal. Anak-anak perlu dididik dengan memenuhi fitrah manusia. Akal diisi dengan ilmu bermanfaat, ruh ditanam dengan rasa kehambaan dan ibadat, fizikal dilatih untuk kuat dan sihat. Inilah pendidikan Islam yang holistik menerapkan ketiga-tiga komponen dalam pembangunan masyarakat madani.
Pendidikan negara perlu kembali kepada pendidikan Islam yang seimbang mengikut fitrah insani. Masyarakat juga perlu dipersiapkan dengan generasi yang kuat rohani, daya intelektual dan fizikal.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Ramadhan 1438H / 4 Jun 2017M