Home Berita PAS Perak

Kesatuan anak muda mampu membentuk kemenangan

153
SHARE

Ketua Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan bagi sesi 2023/2025, Nurhafizul Badrul Hisham

Tarikh: 21 Februari 2023

TELUK INTAN: Pemuda PAS perlu pecahkan tembok antara kepimpinan dan ahli bawahan dengan mengadakan pertemuan secara formal atau tidak supaya dapat membentuk kesatuan yang jitu.

Ketua Pemuda PAS Teluk Intan bagi sesi baharu, Nurhafizul Badrul Hisham berkata demikian dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Teluk Intan kali ke-41 di KOMPASTI, baru-baru ini.

“Dalam keadaan yang kita sedar ada kekurangan, maka kita perlu bersatu, teroka bagaimana cawangan lain dapat bekerjasama dengan cawangan lain untuk kita gerakkan program mendekati anak muda.

“Diperingkat pimpinan pemuda kawasan akan berusaha menyelaraskan manfaatkan tenaga-tenaga anak muda yang ada,” ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Menurut beliau, tenaga anak muda ini mampu membentuk satu perkara yang besar jika dihimpunkan, disatukan.

Tambahnya, kepimpinan pemuda PAS kawasan sebelum ini telah berjaya membentuk ruang-ruang untuk anak muda bersama PAS.

“Cuma tinggal sikit saja lagi yang kita perlu teruskan usaha sebelum ini dengan menarik mereka ke platform-platform yang kita sediakan.

“Sebagai contoh sebelum ini kita telah membuka Gelanggang Dato Maharaja Lela dan Kem Remaja Rabbani yang berjaya menarik minat ramai anak muda.

“Itu adalah ruang untuk penglibatan daripada anak muda tersebut kepada pemuda PAS kawasan sebagai langkah pengkaderan untuk mereka bersama kita melalui jabatan AMAL, ARC, DACS dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut menyentuh bagaimana mahu menyusun strategi bagi menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dimenangi PAS pada PRU15 lepas.

“Pemuda PAS sebagai jentera hadapan parti perlu lakukan gerak kerja mendekati pengundi bukan Islam selain kita terus menyantuni anak muda bagi mengekalkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional sehingga akhirnya,” tambahnya lagi.