KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada Yayasan Terengganu berhubung kes kehilangan seorang pelajar di salah sebuah asrama di daerah ini, Sabtu sebelum boleh mengambil tindakan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, selepas mendapat laporan tersebut pihaknya akan meneliti keperluan untuk membuat penambahbaikan untuk keselamatan pelajar.
“Buat masa ini, kita doakan pelajar tersebut iaitu Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, ditemukan secepat mungkin dalam keadaan yang selamat. Semua pihak sedang bekerjasama membantu polis untuk mengesan pelajar tersebut.
“Banyak juga pihak yang menganjurkan solat hajat dan doa selamat untuk keselamatan pelajar tersebut agar segera pulang ke pangkuan keluarganya,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Beliau juga berkata setiap asrama sekolah berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk keselamatan pelajar.
Tambah Satiful Bahri lagi, penambahbaikan akan turut dilakukan dalam khidmat kaunseling di asrama sekolah bagi menjaga kebajikan para pelajar.
Terdahulu, pelajar terbabit, Muna Qaisara Muhammad Budiman, kali terakhir dilihat memakai jubah berwarna merah hati dan tudung berwarna krim sebelum disedari tidak berada di asrama.
Ibunya, Juliana Johari, 42, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarga untuk menjejaki anaknya itu namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.
“Saya rayu kepada sesiapa yang mungkin mempunyai rakaman dashcam di sekitar laluan berhampiran kawasan sekolah di Serada agar dapat membantu kami.
“Ada juga pihak yang menyebarkan maklumat palsu kononnya Muna Qaisara sudah ditemui, sedangkan ia tidak benar,” katanya .
Juliana berkata, mereka sekeluarga berharap agar Muna Qaisara dapat segera ditemui dalam keadaan selamat.