Home Kenyataan Media PAS Johor

Kes Cikgu Azizan:Kemenangan Moral Bagi Warga Pendidik, Hak Guru Perlu Dilindungi KPM Sewaktu Menjalankan Tugas

2781
SHARE

1. Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan Negeri Johor mengucapkan syabas dan tahniah atas kemenangan kes Cikgu Azizan yang dibebaskan dari pertuduhan dan sabitan kes pendakwaan pada 19 Disember lalu.

2. Semoga ianya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar menghormati institusi perguruan dalam persada pendidikan negara.

3. Kami juga mengharapkan pada masa akan datang agar ibubapa dapat menyelesaikan sebarang permasalahan secara harmoni bagi mengelakkan salah faham terutama dari aspek disiplin anak-anak. Sebaiknya janganlah menggunakan saluran mahkamah sebaliknya jadikan sesi perundingan dan perbincangan dengan melibatkan PIBG dan pentadbir sekolah untuk meleraikan sebarang kekusutan dan merungkai permasalahan yang timbul.

4. Kita tidak membela mana-mana yang guru yang bersalah atau melakukan jenayah tetapi prinsip kita adalah membela hak guru yang sedang menjalankan tugas dan menjadi pelaksana dasar atas arahan dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) terutama berkaitan soal disiplin.

5. Lajnah Pendidikan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dapat melindungi warga pendidik yang sedang menjalankan tugas dengan menyediakan peguam bila perkara ini berlaku pada masa akan datang. Jangan membiarkan guru bersendirian mendapatkan pembelaan dan mencari peguam sendiri melalui mana-mana NGO yang disertai.

6. Kami juga mendesak KPM menarik balik surat gantung kerja terhadap Cikgu Azizan seberapa segera kerana beliau telah dibebaskan dari pertuduhan.

7. Persoalannya mengapakah beliau menerima surat ini dalam tempoh 2 minggu dari tarikh sebelum kes perbicaraan 19 Disember sedangkan beliau belum disabitkan bersalah?Mengapakah KPM tidak membantu guru ini dengan khidmat nasihat guaman untuk membantu guru ini.

8. Kes ini telah digugurkan dan pertuduhan telah ditarik balik. Jika KPM tidak tarik balik surat gantung kerja ini segera, ia akan menjejaskan kelayakan beliau menerima beberapa kelayakan seperti tidak mendapat dapat bonus dalam tahun semasa(tahun ini), menjejaskan prestasi dan mungkin akan memberikan kesan kepada beliau dalam perkhidmatan dan pencen nanti. Sepanjang kami memperjuangkan kes beberapa orang pendidik di Johor, guru yang disabitkan dengan pertuduhan dan dikenakan tindakan melalui surat bertulis dari KPM seperti ditahan gaji, digantung kerja, dan sebagainya akan hilang kelayakan menerima bonus pada tahun semasa. Justeru kami mohon KPM(Kementerian Pendidikan Malaysia) tarik balik surat gantung kerja tersebut.

9. Kami juga mengharapkan biarlah ini merupakan kali terakhir guru disaman seperti ini kerana kesannya cukup besar dalam persada pendidikan negara jika guru membiarkan masalah disiplin pelajar semakin membarah.

10. PAS Johor juga menyokong cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) tentang pelaksanaan Kod Etika Ibubapa/Penjaga sebagai panduan bersama ketika berurusan dengan pihak sekolah bagi menjamin hubungan baik pelajar, ibu bapa dan guru dalam mengatasi disiplin anak-anak.

11. Dalam pada masa yang sama, masyarakat dan ibu bapa dikehendaki memberikan kerjasama yang baik terhadap warga pendidik khususnya guru disiplin dalam mengatasi gejala sosial yang meruncing.

12. PAS Johor juga mengharapkan agar kejadian warga pendidik  yang belum dibuktikan bersalah dan baru di peringkat pertuduhan, usahlah digari dan diperlakukan seperti penjenayah.

Tidak sama martabat seorang guru dengan penjenayah yang merompak, atau terlibat kes dadah. Jadi, pertimbangan dan budi bicara seperti kes ini adalah amat penting.
Itulah sebabnya ibu bapa/penjaga digesa agar meneliti dan menyiasat setiap aduan anak-anak lebih awal dengan rasional bukan emosional serta berhubung dengan pentadbir sekolah jika ada sebarang kemusykilan sebelum membawa sebarang kes ke mahkamah.

Salam hormat:
Pn.Normala Binti Sudirman
Pengerusi Lajnah Pendidikan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor Sesi 2017/2019.