Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama YT-UniSZA bawa Pelajar Cemerlang Terengganu ke Al-Azhar

2
SHARE

KUALA NERUS – Enam pelajar cemerlang Terengganu terpilih sebagai kumpulan pertama mengikuti program persediaan perubatan di Pusat Asasi Ulul Albab Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebelum menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat memaklumkan, program kerjasama Yayasan Terengganu dan UniSZA itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa modal insan melalui akses pendidikan berkualiti.

“Setinggi-tinggi tahniah serta syabas saya ucapkan kepada batch pertama iaitu seramai enam orang pelajar cemerlang kerana telah terpilih untuk menerima tajaan biasiswa Yayasan Terengganu (bagi program tersebut).

“Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada hari ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara Yayasan Terengganu dan UniSZA dalam peluang pengajian serta pembangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Terengganu (YT) dan UniSZA yang berlangsung di kampus Gong Badak, baru-baru ini.

Tambahnya, pelajar-pelajar berkenaan akan menjalani program asasi selama setahun di Pusat Asasi Ulul Albab UniSZA.

Menurut Satiful lagi, pemilihan UniSZA sebagai rakan strategik berikutan Pusat Asasi Ulul Albab merupakan pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan hafazan Al-Quran, penguasaan bahasa Arab dan pengajian Sains Tulen (Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik).

“MoU ini menandakan bermulanya kerjasama strategik antara dua institusi tersebut dalam membuka laluan pengajian lebih sistematik bagi pelajar-pelajar cemerlang negeri Terengganu, khususnya dalam bidang perubatan.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga membuka peluang pengajian perubatan dan pergigian di negara-negara lain termasuk Afrika Selatan dan China,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar kerjasama sebegini dapat diperluaskan ke bidang-bidang lain demi manfaat lebih ramai pelajar Terengganu.

Dalam perkembangan lain, enam orang pelajar dari Sekolah Menengah IMTIAZ Marang aliran Tahfiz Mandarin dikhabarkan akan melanjutkan pengajian ke Beijing Foreign Studies University pada akhir Ogos ini.

Satiful menyatakan bahawa beberapa universiti di China yang memiliki kepakaran dalam bidang Kejuruteraan, Sains serta Perniagaan juga telah disenarai pendek bagi tujuan jalinan kerjasama berkenaan.