Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama TI–Greenverse Pacu Terengganu Ke Arah Negeri Hijau dan Lestari

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu melangkah ke hadapan dalam usaha menjadi negeri hijau apabila Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI) menandatangani usahasama dengan Greenverse Holding Sdn. Bhd. bagi menubuhkan TI Greenverse Sdn. Bhd., entiti yang memfokuskan pengurusan sisa terjadual mampan dan pembangunan teknologi hijau.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, kemudahan yang bakal dibangunkan di Taman Bio-Polimer Kerteh itu akan berfungsi sebagai Kemudahan Pemulihan Sisa Terjadual Luar Tapak Bersepadu, khususnya untuk memproses sisa seperti minyak buangan agar dapat dirawat dan digunakan semula.

“Satu Perjanjian dan Usahasama Pemegang Saham antara Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dan Greenverse Holding Sdn. Bhd. telah dimeterai pada 10 Oktober 2025 yang lalu menandakan penubuhan TI Greenverse Sdn. Bhd. sebagai sebuah entiti baharu yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa terjadual mampan serta Pembangunan teknologi hijau di Negeri Terengganu.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengoptimumkan pengurusan sisa secara lebih praktikal dan mampan, malah memberi impak besar terhadap alam sekitar, teknologi serta peluang ekonomi dan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, MoU tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem hijau, sejajar dengan komitmen Terengganu terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Perubahan Iklim Negeri.

“Secara keseluruhan, MoU TI‑Greenverse adalah satu langkah positif dan penting ke arah pengurusan sisa terjadual secara praktikal, mampan dan mesra alam di samping memberi impak signifikan dalam aspek teknologi dan alam sekitar, malahan turut membuka potensi besar dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sosial,” jelasnya lagi.