Home Artikel PAS Wilayah

Kerjasama Semua Pihak Perlu Bagi Menangani Isu Gelandangan

262
SHARE

Oleh : Dhiya’ Mutmainnah
28 Januari 2021

BATU : Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah mengemukakan keprihatinan terhadap isu gelandangan dalam mesyuarat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Alam Lestari Malaysia di Pusat Komuniti Sentul Perdana, kelmarin.

Ketuanya yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh hadir dalam perbincangan bersama Pengurus DBKL Cawangan Batu, Kamarol Hisham Talib dan Presiden Persatuan Alam Lestari Malaysia, Rasydan Abd Rashid bagi membincangkan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk memperbaiki taraf hidup golongan gelandangan.

Pertemuan tersebut adalah lanjutan dari usaha DBKL yang telah menempatkan lebih 100 orang gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ke Pusat Komuniti Sentul Perdana bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan akan dikawal selia selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Menurut YB Senator Ustazah Nuridah, tindakan susulan dari semua pihak terbabit mesti dilakukan agar gelandangan ini mampu bangkit bagi membina sebuah kehidupan yang jauh lebih baik di masa akan datang.

“Jika anjing yang mati pada zaman pemerintahan Saidina Umar pun akan disoal oleh Allah SWT atas pentadbirannya, apatah lagi tanggungjawab kita terhadap manusia.

“Mereka mesti dibantu agar timbul kesedaran untuk bangun memajukan diri,” tegas beliau dalam pertemuan tersebut.

Perbincangan itu juga telah berjaya merangka satu Projek Pembangunan Pertanian Bandar yang melibatkan golongan gelandangan dan diharapkan inisiatif ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.