Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama pengusaha pelancongan tingkatkan keselamatan pengunjung

20
SHARE

KUALA NERUS, 20 September – Kerajaan negeri sedang giat memperkemaskan strategi bagi memastikan keselamatan pelancong berada di tahap terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) amat penting dalam mengekang peningkatan kes COVID-19 dan meyakinkan pengunjung.

“Buat masa kini daripada dialog bersama pengusaha chalet dan resort, SOP dan kedatangan pelancong dalam negeri masih terkawal.

“Kita mengikut rapat SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penguatkuasaan polis serta agensi berkaitan.

“Namun begitu, jika ada permintaan daripada pemain sektor ini, maka kita akan adakan perbincangan dan membuat keputusan dalam mesyuarat mingguan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program perjumpaan bersama pengusaha pelancongan Pulau Redang di Balai Redang, baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.

Tambahnya, beliau memuji langkah proaktif beberapa pengusaha resort di Pulau Redang yang mewajibkannya sebelum memasuki Pulau Redang meskipun tidak diwajibkan ujian calitan COVID-19 menurut MKN (kecuali Langkawi).

“Asalnya syarat asas ditetapkan adalah pengunjung mesti selesai divaksin dua dos namun kita buka ruang untuk kolaborasi dan penambahan demi keselamatan kita bersama,” ujarnya.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, beliau turut bersetuju dengan cadangan tempahan awal sebagai syarat memasuki pulau-pulau peranginan bergantung kepada persediaan pengusaha masing-masing.