Home Pedoman Haraki

Kerjasama PAS-Umno: Perlukah Disegerakan?

1,135 views
SHARE

●     Pengenalan

Isu kerjasama politik bukanlah perkara baru. Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad S.A.W mengadakan kerjasama politik dengan pelbagai pihak di Madinah dan luar Kota Madinah. Dalam dunia moden, kerjasama politik dijalin sepanjang sejarah Perang Dunia, Perang Dingin dan selepas itu. Masing-masing ingin mencari rakan kongsi untuk memperkuatkan antara satu sama lain. Pendeknya kerjasama politik sangat diperlukan demi menyampaikan tujuan sesuatu pihak di samping menguatkan satu kumpulan dengan yang lain sebagai satu gerakan bersama, walaupun kekadang mempunyai tujuan yang berlainan sehingga kesatuan itu menjadi rapuh dan menunggu masa untuk pecah.

●     Pengalaman PAS bekerjasama dengan kumpulan politik lain

Sebagai sebuah parti politik Islam tertua pada zaman moden, PAS telah melalui proses kematangan dengan percubaan mengadakan kerjasama dengan pelbagai latar belakang politik yang ada, sebelum dan selepas merdeka. Walaupun alasan yang digunakan adalah berbeza, didapati tujuan utama adalah untuk menang dalam PRU. Pengalaman ini tidak dipunyai oleh mana-mana parti politik di negara umat Islam lain kerana perbezaan cuaca dan suasana. Ada setengah negara yang tidak memberikan ruang kepada parti politik Islam untuk bernafas sehingga istilah kerjasama politik tiada dalam kamus mereka. Ada juga yang cuba berkompromi tetapi masih gagal.

Dalam konteks Malaysia, kerjasama politik PAS dengan parti bukan Islam (Sekular) berjalan dengan baik sehingga banyak manfaat yang didapati oleh PAS dalam gerakan mereka. Contoh yang paling jelas adalah kerjasama dengan S46 sehingga berjaya menang dan memerintah Kelantan. Walaupun S46 telah dikuburkan oleh pengasasnya sendiri tetapi kekuatan PAS semakin terserlah di Kelantan dan mempunyai kesan baik di luar Kelantan termasuk di peringkat politik Islam internasional.

Kerjasama dengan PKR pula ternyata berjaya merebut Terengganu dan kerjasama PKR-DAP pula berjaya berkongsi kuasa di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak.

●     PAS dan Umno selepas PRU

Sebelum tahun 1980-an, PAS pernah mempunyai pengalaman baik dan buruk apabila menubuhkan kerajaan campuran dengan Umno dan akhirnya menyertai BN demi perpaduan Melayu dan Islam.

Demi perpaduan itu juga, pimpinan PAS bersedia untuk berbincang pilihan menubuhkan Kerajaan BN-PAS atau PAS-PKR-DAP di Selangor, Perak dan Kedah selepas PRU12. Usaha ini walaupun tinggal kenangan tetapi telah berjaya digunakan oleh musuh PAS sebagai UG (Unity Government) dan berjaya mengeluarkan PAS dari perkongsian politik di Negeri Pantai Barat Semenanjung.

Selepas PRU14, nampaknya isu ini agak reda apabila masing-masing sibuk dengan mempertahan dan menghentam kerajaan yang baru, dikatakan gagal menepati janji dan manifesto. Apa pun alasan yang diberikan, kerajaan baru masih gagal membezakan mereka dengan Kerajaan BN dalam banyak hal; harga minyak, integriti, kos hidup dan banyak lagi.

Antara isu kritikal yang berlaku dalam kalangan ahli PAS pada masa itu adalah isu kepimpinan Kerajaan Kedah dan Perak. Timbul andaian jika PAS bersama Umno, sudah tentu Kedah dan Perak akan dikuasai oleh kerajaan baru, bukan Kerajaan PH pada hari ini. Pihak pimpinan PAS mengambil pendekatan bijaksana dengan tidak memilih Umno sebagai rakan kongsi di Perak dan Kedah walaupun ada kedengaran pimpinan PAS yang berminat ke arah itu. Syabas kepada YB Dato’ Seri Presiden PAS kerana bertegas dalam soal ini sehingga nampak ketelusan dan ketulusan PAS kepada pengundi mereka yang ingin membuktikan kepada umum bahawa tanpa bergantung kepada sesiapa, PAS masih diterima dan mendapat sokongan lebih baik, mendapat dua negeri dan 18 Parlimen.

●     PAS-Umno selepas PRK

Sebaik saja PRU14 selesai, berlaku PRK di tiga Dun. PRK ini benar-benar menguji kekuatan mental dan psikologi pimpinan PAS. Apakah mereka sedia bekerjasama dengan pembangkang? (Baca Umno) dalam tiga siri PRK berkaitan? Sekali lagi pimpinan PAS menunjukkan kematangan yang luar biasa:

1.     Tidak meletakkan calon di Sg. Kandis dan Balakong. Walaupun tidak meletakkan calon, PAS tidak pula membuat arahan kepada ahli supaya turun membantu calon BN. Kebijaksanaan ini bukan saja PH kehilangan modal untuk menuduh PAS beramah mesra dengan Umno malah mereka juga kehilangan sokongan orang Melayu kerana banyak isu yang dilihat tidak menyebelahi kepentingan orang Melayu. Walaupun ada suara kecil daripada sebahagian pimpinan PAS yang mengajak umatnya bekerja dan memberikan undi, ternyata seruan itu kurang magnet kepada pengundi PAS kerana masih fobia dengan pengalaman kalah di Selangor sedangkan mereka jangka akan meraih setidaknya 10 kerusi dalam PRU14 yang lalu.

2.     Meletakkan calon di Seri Setia. Sokongan dari Umno dilihat sebagai kehadiran tanpa dijemput dan ketiadaan tanpa dihalang oleh petugas PAS. Sungguhpun demikian, ucapan Tok Mat Hasan sangat menyentuh hati sanubari pengundi dengan gaya bahasa yang mudah, tiada retorik, sanggahan yang senang difahami patut diteladani oleh pimpinan PAS bahawa kita tidak perlu berteori pada semua tempat dan semua masa. Adakala, bahasa yang mudah perlu digunakan bagi menarik undi dan sokongan.

Apa yang berlaku selepas ini?

Timbul persoalan, selepas ini apa akan berlaku antara PAS dan Umno?

Ada beberapa kemungkinan sekiranya PAS sedia bekerjasama dengan Umno:-

●     Pertama: Kerjasama yang lebih mantap

Kerjasama yang lebih mantap dan baik antara kedua hero Melayu ini. Memandangkan PAS dan Umno memiliki lebih 32 peratus kerusi Parlimen, maka diharapkan kerjasama ini akan menjadikan suara mereka di Parlimen lebih kuat daripada sekarang. Banyak hal yang boleh dibincangkan antara kedua belah pihak terutama PAS yang boleh mendapat maklumat daripada ahli Parlimen Umno yang ternyata menguasai perbincangan di Parlimen. Di Dewan Negara pula, jumlah ahli Dewan Negara PAS-Umno adalah 36 berbanding dengan ahli Dewan Negara dari PH iaitu 19.

●     Kedua: Timbul satu lagi persoalan dan keraguan

Siapakah yang bakal dilantik sebagai jurucakap atau juru sambung lidah bagi pihak PAS? Sejarah cubaan kerjasama pernah berlaku dan dengan sebab kesilapan teknikal, PAS telah dikaitkan dengan politik wang, penyaluran wang 1MDB dan pelbagai tohmahan yang menyakitkan hati ahli dan penyokong sehingga timbul slogan “Saya PAS tapi undi PH”.

Adalah lebih baik jika PAS memilih wakil mereka yang tidak tersenarai dalam dakwaan Sarawak Report kerana mereka mungkin akan dipanggil oleh mahkamah di UK yang boleh menyulitkan keadaan dan menambahkan kerungsingan ahli dan menipiskan kepercayaan penyokong PAS.

●     Ketiga: Apakah alasan untuk PAS-Umno bekerjasama

Apakah perlu PAS-Umno bekerjasama pada hari ini? Ini juga satu persoalan yang perlu dilihat dengan lebih teliti. Apakah PAS perlu mengisytiharkan akan mengadakan kerjasama pada hari ini? Apakah alasan memilih darurat yang lebih ringan boleh digunakan? Walhal, tiada apa darurat yang boleh diringankan dalam konteks perebutan kerusi dan kuasa? PRU14 sudah tamat dan PRU15 ada tempoh yang panjang untuk berusaha, menilik dan memikir? Apakah ahli PAS sudah diyakinkan bahawa PAS tiada pilihan kecuali bersama Umno pada hari ini dan tidak esok? Isu ini juga ada kaitan dengan kesegeraan dan ketelitian dalam membuat keputusan. Tidak mustahil PAS akan kuat di kawasan Melayu hasil kerjasama tetapi menjadi semakin buntu untuk menarik undi bukan Melayu atau Melayu bandar yang tiada kisah dengan isu Melayu-Islam-Bahasa-Raja?

●     Keempat: Berbincang dengan lebih masak

Apakah lebih baik PAS-Umno berbincangkan dengan lebih masak mengenai beberapa hal?

Misalnya apa yang hendak Umno bawa jika telah menjadi rakan kongsi PAS? Apakah agenda Melayu menjadi lebih utama atau Melayu Islam menjadi satu adunan mantap? Apakah penyokong dan ahli akan istiqamah atau ada yang akan lari kerana mereka masih ingat kepada kebobrokan, salah guna kuasa, rasuah, Nepotisme Umno dengan jasa minimum sepanjang 60 tahun memerintah? Orang PAS diajar, menentang semua itu tetapi dengan mudah pula pimpinan PAS menerima tanpa diberikan keyakinan dan ketetapan bahawa Umno sekarang telah berubah. Terdapat juga persoalan iaitu jika mereka akan bersama sehingga PRU15, siapa yang akan jadi tonggak utama? Apakah PAS akan selamanya jadi pak turut dan tiada kata pemutus dalam hal Melayu-Islam?

●     Kelima: Bentuk kerjasama yang bagaimana hendak dibentuk oleh PAS-Umno

Apabila membincangkan kerjasama timbul satu lagi persoalan, bagaimana bentuk kerjasama yang wajar diambil pendekatan oleh PAS? Secara asasnya sama ada berkonsepkan Tahaluf atau Taawun.Majlis Syura PAS mempunyai bidang kuasa dalam menentukan asas kerjasama tersebut. Di sini ingin dinyatakan beberapa bentuk kerjasama yang perlu difikirkan masak-masak sebelum dibuat keputusan supaya tidak dipatuk dua kali dalam satu lubang. Antaranya:

i-     Kerjasama strategik atau rakan strategik.

ii-     Kerjasama dalam bentuk gabungan (Gabung antara PAS-Umno) atau pakatan.

Sewajarnya PAS tidak terlalu terburu-buru untuk memilih bentuk kerjasama yang kedua iaitu bergabung atau berpakat sepertimana yang pernah dilalui bersama Pakatan Rakyat sebelum ini. PAS perlu bina kekuatan diri sendiri dengan sasaran boleh menawan Putrajaya dengan kekuatan sendiri sepertimana PAS berjaya lakukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bagi meringankan beban PAS dan tidak terpalit dengan kebencian rakyat majoriti yang telah menolak Umno, wajar PAS memilih kerjasama dengan Umno hanya dalam bentuk kerjasama strategik sahaja.

Kesimpulan

Perkara yang disebutkan di atas adalah sebahagian daripada tanggapan peribadi apabila berdepan dengan isu PAS-Umno. Terdapat banyak lagi isu yang boleh dibahas bagi memantapkan pemikiran dan pemerhatian ahli dan pimpinan sama ada ingin bersama Umno atau bersendirian sekurangnya sehingga tahun-tahun terakhir PRU15 yang akan datang. Isu-isu lain akan dibahaskan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2018