Home Artikel PAS Sabah

Kerjasama PAS dan NGO Sandakan jayakan misi kebajikan asnaf

524
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
11 Mei 2020

SANDAKAN : Buat julung kalinya PAS telah bekerjasama dengan beberapa NGO Sandakan dalam misi bantuan barangan dapur dan keperluan asas kepada asnaf di daerah ini.

Antara NGO yang terlibat dalam misi berkenaan ialah Belia USIA, Pemuda ISMA, Majlis Guru Besar Sandakan, Rak Asnaf Masjid Jamek, HALUAN, Pertubuhan Bela Batu Sapi dan banyak lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata kerjasama dengan NGO ini telah bermula sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Beliau yang ditemui semalam selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Mangkalinau dekat sini menjelaskan gabungan ini telah membantu lebih 10,000 penerima yang terputus bekalan makanan ekoran PKP Covid-19.

Selain itu katanya, PAS turut melalui Khidmat Malaysia yang dipengerusikan beliau telah bergerak di seluruh negeri Sabah menyampaikan sumbangan meliputi daerah Tawau, Kalabakan, Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Keningau, Lahad Datu dan lain-lain.

Pengerusi Belia USIA Sandakan, Ust Mohd Sufan Bahrin pula berkata pihaknya sendiri telah membantu golongan asnaf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama sejak PKP Fasa 1 dan sehingga kini masih diteruskan.

“Pemuda ISMA telah membantu lebih seribu penerima dengan menyerahkan bantuan barang asas kepada mereka,” jelas Ketua Pemuda ISMA Sandakan, Endi Hatta.

Sementara itu wakil Majlis Guru Besar Sandakan, Zairudin Ali merakamkan ucapan penghargaan kepada PAS dan NGO yang terlibat dengan misi kebajikan ini.

“Kami ucapkan terima kasih kepada gabungan PAS dan NGO ini kerana sebahagian besar penerima bantuan kebajikan berkenaan adalah terdiri daripada murid-murid sekolah yang berada di daerah Sandakan,” ujarnya.

Disamping itu, Sahar yang mewakili gabungan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, ATM, RELA dan JPAM atas kerjasama yang diberikan bagi melancarkan misi tersebut.