Home Berita PAS Terengganu

Kerjasama EPIC, Brunei hasilkan pendapatan tambahan Terengganu

51
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka akan memperoleh sumber pendapatan tambahan susulan jalinan kerjasama syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), bersama Brunei dalam industri maritim serta minyak dan gas.

Terdahulu, pada 1 November lepas EPIC Berhad telah memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa), sebuah syarikat di bawah Adinin Group of Companies, bagi membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Brunei Darussalam, khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di negara tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui pemeteraian LoI itu, ia merupakan peluang pertama untuk EPIC terlibat dalam aktiviti di luar negara.

“Kerjasama itu insya-Allah akan menghasilkan sumber pendapatan tambahan kepada negeri dan secara tidak langsung membantu rakyat.

“Ini kerana apabila EPIC mendapat hasil yang lebih tentulah ada program-program rakyat yang boleh dilakukan oleh EPIC termasuk dalam bentuk kebajikan dan perkara-perkara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.

Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.

Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd untuk penyelenggaraan marin, dan bagi perkhidmatan penyahtauliahan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.

Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.