KUALA TERENGGANU – Kenderaan berasaskan hidrogen mencuri tumpuan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan dan Pameran East Coast Energy (ECE 2025) apabila teknologi tenaga bersih itu dipamerkan secara dekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Jun ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Terengganu Petroleum Council (TPC), dengan kerjasama PETRONAS sebagai Rakan Ilmu, manakala Terengganu Inc. sebagai Rakan Strategik dan EPIC Berhad sebagai Rakan Korporat.
Katanya, di persidangan terbabit turut diadakan pameran yang memaparkan bahan yang simbol peralihan industri ke arah tenaga masa depan lebih hijau dan mampan, sejajar dengan agenda transisi tenaga negara.
“ECE 2025 menghimpunkan lebih 1,000 pemain industri, pembuat dasar, akademia dan komuniti tenaga dari seluruh negara bagi membincangkan masa depan tenaga lestari termasuk aspek peralihan tenaga, teknologi karbon rendah serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Kenderaan hidrogen menjadi antara bahan pameran paling mendapat perhatian kerana ia memberi gambaran jelas terhadap potensi tenaga hijau dalam sektor pengangkutan, sejajar dengan pelan jangka panjang pengurangan pelepasan karbon,” katanya.
Ujar Dr. Muhtar, selain pameran teknologi, pelbagai forum dan sesi diskusi turut dianjurkan, merangkumi topik seperti postensi tenaga baharu dalam pembangunan ekonomi, Pantai Timur sebagai hab teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), pembangunan bakat dalam sektor tenaga dan pengurusan aset dan keterlibatan komuniti.
“ECE 2025 juga memberi ruang kepada penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan muda serta pelajar untuk melihat peluang yang wujud dalam ekosistem tenaga masa depan.
“Antara program sampingan yang dijalankan termasuk ECE Golf Classic, sesi outreach kesihatan masyarakat, serta forum komuniti yang menghubungkan secara langsung antara industri dan rakyat,” jelasnya.