Home Berita PAS Perak

Kerajaan tidak bertanggungjawab penggunaan benih padi tidak sah

68
SHARE

Oleh: Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap tanaman padi yang rosak atau musnah sekiranya pesawah menggunakan benih yang tidak sah atau diperoleh secara murah melalui sumber tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata, tindakan sesetengah petani yang menggunakan benih padi murah atau tidak sah adalah di luar kawalan pihaknya.

Menurutnya, sekiranya berlaku masalah padi rosak seperti serangan penyakit, kerajaan tidak akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal pampasan.

“Di Perak, bekalan benih padi bagi musim 2/2021 dijamin mencukupi dan boleh dibeli pada bila-bila masa dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kita dapati ada segelintir pesawah menggunakan benih padi tidak sah yang diperoleh dari sumber tertentu dan di luar pengetahuan kita sekali gus mengundang risiko kepada mereka kelak,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Bagan Serai secara pandu lalu oleh Pas Kawasan Bagan Serai di Surau Al-Ansar Alor Pongsu dekat sini.

Menurutnya, Jabatan Pertanian sentiasa menitikberatkan keadaan itu dan sering melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menjual benih padi murah yang tidak sah kepada pesawah bagi mengelakkan berlakunya masalah berbangkit di kemudian hari.

Katanya, pihaknya juga menasihatkan dan menyarankan pesawah di seluruh Perak agar sentiasa mengikut jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian bagi memastikan tanaman terhindar dari serangan penyakit dan musuh tanaman.

SUMBER: HARIAN METRO
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/748328/kerajaan-tidak-bertanggungjawab-penggunaan-benih-padi-tidak-sah