Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Terengganu sentiasa buka permohonan tanah baharu

45
SHARE

BESUT – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa permohonan tanah baharu sentiasa dibuka untuk rakyat yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menjelaskan bahawa rakyat yang memerlukan tanah boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa.

“Kerajaan komited untuk memberikan peluang kepada semua rakyat tanpa had masa tertentu.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki tanah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Dialog Exco di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai dua jenis tanah iaitu permohonan tanah baharu yang sah dan tanah haram.

“Permohonan tanah baharu adalah sah dan terbuka kepada semua yang layak, manakala tanah haram adalah masalah pencerobohan yang memerlukan tindakan tegas.

“Kita akan terus memastikan bahawa semua permohonan tanah dibuat mengikut peraturan yang sah, dan tindakan undang-undang akan diambil bagi menangani isu tanah haram,” ujar beliau.

Tambah Mohd Nurkhuzaini, Kerajaan Terengganu mengambil langkah tegas dalam memastikan tanah-tanah yang dianugerahkan kepada rakyat tidak dijual atau dipindah milik secara tidak sah, terutama melalui ‘pintu belakang’.

“Setiap tanah yang diberikan, sama ada melalui permohonan tanah baharu atau tanah yang tertakluk di bawah pemilikan terkilang, tertakluk kepada larangan gadaian, pajakan, dan penjualan.

“Peraturan ini jelas dinyatakan dalam surat anugerah tanah bagi memastikan harta milik rakyat tidak disalahgunakan atau diperdagangkan oleh pihak yang ingin mengambil keuntungan.

“Isu penjualan tanah secara tidak sah ini sering kali berlaku melalui cara yang tidak formal atau ‘pintu belakang’, yang jelas melanggar syarat anugerah tanah tersebut,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa tanah-tanah itu diberikan bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi rakyat dan memastikan orang ramai memiliki harta sendiri, bukan untuk dijadikan sumber keuntungan cepat oleh pihak tertentu.

“Tanah-tanah ini adalah untuk kegunaan pemohon, bukan untuk dijual atau digadai dengan mudah. Kita tegaskan bahawa tanah anugerah ini tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 10 tahun.

“Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mengambil langkah penguatkuasaan yang ketat terhadap mana-mana individu yang melanggar perjanjian anugerah tersebut.

“Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengekang pencerobohan atau penyalahgunaan tanah, tetapi juga untuk melindungi kepentingan rakyat serta memastikan tanah tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada pemilik asal,” jelasnya.