IPOH – Kerajaan Negeri Terengganu telah menyampaikan surat penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tanda terima kasih atas keprihatinan luar biasa dan kerjasama erat dalam membantu mangsa nahas kemalangan bas yang melibatkan pelajar universiti berkenaan.
Surat tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam satu kunjungan rasmi ke kampus UPSI baru-baru ini.
Menurut Maliaman, penghargaan itu adalah manifestasi ucapan terima kasih Kerajaan Negeri Terengganu terhadap sikap cekap, empati dan komitmen tinggi yang ditunjukkan UPSI dalam menguruskan insiden yang menimpa anak-anak Terengganu yang menuntut di universiti tersebut.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh rakyat negeri ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPSI atas keprihatinan dan kerjasama yang amat bermakna dalam membantu para pelajar yang terlibat dalam nahas baru-baru ini,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan pantas serta pendekatan berperikemanusiaan oleh pihak universiti, termasuk penyediaan bantuan kecemasan, sokongan moral dan pengurusan krisis yang tersusun, telah memberi impak besar kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.
“Usaha murni ini amat kami hargai. Ia mencerminkan semangat solidariti, nilai kemanusiaan serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga UPSI.
“Pendekatan ini menyerlahkan UPSI bukan sekadar sebagai institusi cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga sebagai universiti yang benar-benar prihatin terhadap kebajikan pelajarnya,” katanya.
Sementara itu, Dr. Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pengiktirafan serta sokongan moral yang diberikan terhadap usaha universiti dalam menjaga kebajikan pelajar.
“Sebagai universiti pendidik utama negara, UPSI sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajarnya. Setiap warga UPSI memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar diberikan perhatian yang sewajarnya, khususnya dalam saat-saat mencabar,” jelas beliau.
Terdahulu, insiden kemalangan tragis yang berlaku bulan lalu telah meragut 15 nyawa pelajar UPSI dan mencederakan 27 yang lain, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
Kebanyakan mangsa merupakan pelajar berasal dari Terengganu dan kini sedang menjalani proses pemulihan.