KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu telah merangka 147 inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat terus terjamin dalam tahun 2022.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tahun 2021 tercatat segala suka duka dan ia pastinya menjadi pengajaran untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Besar juga harapan saya dan pimpinan Kerajaan Negeri untuk melihat negeri kita dan rakyat Terengganu bangkit semula untuk tahun mendatang.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan 147 inisiatif melalui Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ bagi menyokong kelangsungan hidup rakyat,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu di media sosial Facebook miliknya hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, pihaknya juga sedang berusaha untuk merealisasikan dua lagi daripada 20 manifesto PRU ke-14 Kerajaan PAS Negeri Terengganu.
“Tiada apa yang lebih menggembirakan selain memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat.
“Doakan agar kepimpinan negeri sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah SWT untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya,” jelas beliau.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu memaklumkan baki dua manifesto yang belum dilaksanakan ialah pembangunan bandar baharu lestari dan pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) Islam negeri.
Dalam perutusan sama, Ahmad Samsuri turut menzahirkan rasa dukacita susulan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu serta bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.