Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Terengganu komited perkasa kewangan islam di semua peringkat

14
SHARE

Oleh – Pok Abbas

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri komited memartabatkan kewangan Islam sebagai asas utama dalam pembangunan ekonomi negeri, dengan tumpuan pada pematuhan prinsip syariah di setiap peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata komitmen itu merupakan langkah strategik untuk memastikan ekonomi negeri berkembang secara beretika dan mampan.

“Kerajaan Negeri sangat komited menjadikan kewangan Islam sebagai teras utama pembangunan ekonomi.

“Melalui program seperti seminar ini, kita dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kewangan Islam, memastikan setiap keputusan diambil selaras dengan prinsip syariat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Islamic Finance Seminar 2024 di Hotel Paya Bunga, di sini, baru-baru ini.

Dr. Khalil turut menekankan bahawa kewangan Islam mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja untuk negeri Terengganu, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan.

“Kewangan Islam bukan sekadar alternatif, tetapi satu penyelesaian yang menawarkan keadilan, ketelusan, dan keberkatan dalam pengurusan kewangan.

“Sistem ini berupaya mencipta impak positif di pelbagai sektor ekonomi,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan seminar ini sebagai platform penting untuk membincangkan cabaran yang dihadapi serta peluang yang wujud dalam industri kewangan Islam.

“Dengan menghimpunkan pakar, pembuat dasar, dan pemain industri, seminar ini membuka ruang untuk berkongsi pengalaman serta mencetuskan idea baharu.

“Melalui pendedahan seperti ini, kita bukan sahaja dapat merapatkan jurang pengetahuan, tetapi juga membina ekosistem kewangan yang lebih mampan dan bersedia menghadapi cabaran global.

“Inilah masanya untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kewangan Islam sebagai alat penting untuk membina negeri dan negara yang lebih maju,” ujarnya.