KUALA TERENGGANU – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias, yang cedera dalam tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak, awal Jun lalu, telah diangkat sebagai anak angkat Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Portfolio Kebajikan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, selepas mendapat persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Menurut beliau, sebagai komitmen kebajikan jangka panjang, kedua-dua pelajar tersebut akan menerima bantuan kewangan RM500 sebulan setiap seorang bermula Julai ini, sehingga menamatkan pengajian mereka di UPSI.
“Kerajaan Negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian.
“Mereka dipilih atas faktor tertentu termasuk taraf keluarga. Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya Penglihatan dan fizikal, manakala Ain Najwa anak pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” jelas beliau kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa telah menyentuh hati rakyat Malaysia apabila tular di media sosial, bukan sahaja kerana kecederaan yang dialaminya, malah kisah keluarga mereka.

Pengorbanan ibu dan ayah Adham yang OKU membuatkan ramai menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Adham.
Manakala, kisah dua adik kembar Ain Najwa yang sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti demi menyokong kakak mereka belajar benar-benar mengajar rakyat Malaysia erti kehidupan.
“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” kata Ain Najwa.
Difahamkan, mereka sekeluarga telah kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu, yang ketika hayatnya hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel membaiki kenderaan.
Ibunya pula kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah-rumah jiran untuk menyara hidup.
Kecederaan dialami Ain Najwa akibat kemalangan termasuk patah bahu kiri dan kecederaan pergelangan tangan.

Dia kini sedang melalui proses pemulihan dan dibantu oleh JKM untuk memohon kad OKU, bagi membolehkannya mendapatkan sokongan kesihatan dan pendidikan yang lebih berstruktur.
Sementara itu, Adham turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan yang turut berstatus OKU.
Pelajar UPSI itu sebelum ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan berpanjangan.
Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut akan ditampung oleh Kerajaan Negeri.