Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Terengganu dicadang ambil pemandu wanita

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu disaran agar membuka penjawatan pemandu wanita di setiap agensi kerajaan di negeri ini supaya kebajikan dan keselesaan penjawat awam wanita lebih terjaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata langkah menyediakan pemandu wanita itu akan turut memberikan satu nafas baru kepada kakitangan penjawat awam khususnya membabitkan golongan itu untuk menggunakan kenderaan kerajaan atas urusan rasmi.

“Terutamanya ketika kakitangan wanita perlu keluar kawasan seorang diri.

“Dengan adanya pemandu wanita ini, ia dapat menjamin keselesaan agar lebih memelihara keadaan dan meraikan fitrah wanita sebagai pekerja, ibu dan juga muslimah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata kerap kali beliau mendengar pendapat mereka yang menyatakan kurang selesa ketika bermusafir berdua bersama pemandu lelaki.

“Kadangkala pegawai wanita terpaksa melakukan perjalanan jauh demi tugasan seperti menghadiri mesyuarat, program rasmi dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu tegasnya, di sebalik pengambilan pemandu wanita tersebut perlulah seiring dengan aspek keselamatan dan kebajikan mereka.

“Contohnya, menyediakan tempat yang mesra wanita di depoh kenderaan serta menyediakan jadual waktu fleksibel bergantung kepada arahan ketua jabatan,” ujarnya.