KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengajak rakyat negeri ini memperhebatkan amalan di 10 malam terakhir dengan beriktikaf di Masjid Baru, Tok Jembal yang dijadikan lokasi baharu Madinah Ramadan pada tahun ini.
Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah berkata, objektif kerajaan negeri adalah bagi mendidik masyarakat agar selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi mencapai negeri maju berkat dan sejahtera.
“Sedikit kelainan pada tahun ini ada penambahan aktiviti (dimana) kita menganjurkan program iktikaf pada 10 akhir Ramadan di Masjid induk (Madinah Ramadan) dan juga di masjid dalam daerah.
“Kita cuba membawa satu proses mendidik dan mengalakkan rakyat dan masyarakat negeri Terengganu ini dalam kita memenuhi aspirasi kerajaan negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Madinah Ramadan di sini, kelmarin
Majlis perasmian berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mengulas lebih lanjut Zulkhairi berkata, melalui slogan Indahnya Hidup Bersyariat, ia memberikan gambaran serius kerajaan negeri mahu memastikan rakyat merasai kehidupan mengikut panduan agama.
“Apabila kita menyemarakkan aktiviti-aktiviti agama (termasuk berpuasa dan melakukan segala amal ibadat) itu merupakan proses dalam meletakkan satu semarak penghayatan terhadap ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.
“Mudah-mudahan dengan apa yang telah berlangsung ini akan membawa kepada satu perjalanan membentuk rakyat negeri Terengganu menuju kepada dan menjiwai dalam diri sebagai rakyat Darul Iman, negeri yang beriman insya-Allah,” katanya.