KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri komited memperkasa budaya solat fardu dalam kalangan masyarakat dengan menekankan kepentingan menunaikan solat walaupun dalam kesibukan urusan harian seperti di tapak pasar malam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antara langkah yang diambil ialah menerusi perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian sementara operasi pasar malam ketika masuk waktu solat bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung menunaikan solat fardu.
“Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat.
“Selain itu, turut dibangkitkan berkaitan penyediaan ruang solat dan tempat wudhu bagi peniaga-peniaga dan pengunjung,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Dr. Muhammad Khalil berkata, agensi-agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah juga akan meneruskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan aktiviti dakwah secara langsung di lokasi pasar malam sebagai satu pendekatan mendekati masyarakat secara mesra dan berhemah.
“Sekiranya, ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardhu dan menghasut yang lain untuk tidak solat. Maka, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan \Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” ujarnya.