KUALA TERENGGANU – Lambakan program dilakukan oleh kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setiap program yang dijayakan itu merupakan komitmen PAS untuk dijadikan platform berdakwah bagi meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini.
Katanya, dakwaan segelintir pihak bahawa program diadakan itu hanya ketika hendak meghadapi PRU semata-mata langsung tidak tepat dan merupakan suara nakal yang cuba mengalih perhatian rakyat.
“Saya rasa rakyat pun dapat melihat selepas kemenangan PRU Ke-14, sepanjang empat tahun kita mengerakkan pelbagai agenda dan usaha di mana ini merupakan perjuangan kita yang berterusan dalam mengajak masyarakat di negeri ini untuk menghayati ‘keindahan Islam’ serta menyampaikan mesej Rasulullah kepada umat agar memartabatkan ajaran Islam untuk kesejahteraan seluruh rakyat.
“Kerana itu setiap tahun kita anjurkan pelbagai program yang penuh dengan pengisian yang bermanfaat mengajak rakyat menghayati nilai-nilai Islam untuk diamalkan dalam kehidupan.
“Menunjukkan bahawa kerajaan hari ini komited dengan perjuangan meninggikan syiar Islam secara berterusan untuk menterjemahkan matlamat yang ingin dicapai selama ini untuk menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Peneragan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Karnival Penghayatan Islam TDM Berhad, bertempat di Dataran Khairunnisa, Jalan Sultan Omar, di sini kelmarin.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, sambutan baik telah diberikan oleh rakyat di negeri ini khusunya daripada masyarakat Kuala Terengganu.
“Ini menunjukkan rakyat memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada program-program penghayatan Islam yang memberikan kefahaman yang jelas mengenai kehidupan beragama.
“Sambutan meriah ini juga adalah kerana selama ini rakyat rindu untuk menghadiri program secara fizikal sebegini yang mula kembali diadakan setelah kita baru sahaja mula keluar dari era pandemik dan berada dalam fasa transisi endemik, dengan kehadiran yang ramai ini menujukkan rakyat Terengganu memang cintakan kepada program-program penghayatan Islam yang memberikan ilmu yang bermanfaat.
“Gelombang yang sama juga dapat diperhatikan dengan keadaan masjid dan surau-surau, saya sendiri melalui Pejabat Parlimen Kuala Terengganu sedang merangka pelbagai program keagamaan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meneruskan usaha meningkatkan syiar Islam di negeri ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada program tersebut, TDM telah menyampaikan bantuan RM80,000 kepada seramai 400 penerima dari Kuala Terengganu yang merupakan golongan B40.