Oleh NAZRI ABD HAMID
TELUK KUMBAR, 24 OKTOBER – PAS Pulau Pinang mempersoalkan mengenai kewajaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang didalam pertimbangannya merancang membina asrama warga asing.
Dalam isu ini kerajaan negeri dilihat lebih berminat menyelesaikan hal pekerja asing berbanding menyelesaikan masalah rakyat dan pekerja tempatan. Contohnya Pasar Awam Teluk Kumbar seolah menjadi projek terbengkalai.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, beliau telah bangkitkan perkara ini beberapa bulan yang lalu.
“Antara persoalan yang sepatutnya kerajaan mengambil perhatian adalah nasib pekerja-pekerja tempatan yang tidak diberikan perhatian penempatan selama ini.
“Ramai pekerja sektor perkilangan tempatan yang memerlukan tempat tinggal yang datangnya dari negeri-negeri jiran yang turut menyumbang kepada kepesatan kemajuan perkilangan di negeri ini,” katanya.
“Tindakan kerajaan ini dipertikaikan kerana ianya membawa banyak kemusnahan dan kerosakan berbanding kebaikan kepada masyarakat dan persekitaran.”
Sebagai contoh, banyak implikasi buruk bakal berlaku antaranya, kesan sosial terhadap masyarakat atau komuniti tempatan, kesan pembangunan yang tak seimbang.
Selain dari kesesakan kenderaan di jalan Teluk Kumbar–Bayan Lepas, kawasan perkampungan yang bakal hilang, selain hilang punca mata pencarian bagi nelayan.
“Untuk lebih efektif, kerajaan sepatutnya membuka ruang kawasan yang lebih hampir dengan Kawasan Zon perkilangan dan industri seperti di Batu Kawan untuk penempatan asrama ini,” katanya.
[Sumber Facebook Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff]