Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Persekutuan digesa naikkan harga lantai padi, lindung pengilang bumiputera

29
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan pusat khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu mengambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang padi bumiputera berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi di sebalik harga beras masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring dengan peningkatan kos pengeluaran sekarang.

Menurutnya, harga lantai sekitar RM1,500 hingga RM1,800 adalah munasabah dan dalam masa yang sama, harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu perlu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3 satu kilogram (kg).

“Ia lebih baik dari situasi sekarang di mana beras tempatan dijenamakan sebagai beras import dan dijual melebihi RM4/kg.

“Isu ini berlaku kerana kerajaan hanya tentukan harga lantai padi RM1,300/tan tapi harga siling tak ditetapkan.

“Maknanya pengilang hanya disyaratkan beli padi tak kurang dari harga minima RM1,300. Terpulanglah nak beli berapa mahal sekalipun, ia dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam persaingan bagi mendapatkan bekalan padi, kilang-kilang bukan bumiputera menawarkan harga belian padi yang tinggi sehingga mencecah RM2,000 per tan.

“Dengan harga belian padi ini, beras tak akan mampu dijual dengan harga RM2.60/kg. Maka bagaimana kilang nak untung?

“Bila beli padi dengan harga tinggi, kilang-kilang ini mendapatkan keuntungan dengan cara menjenamakan beras tempatan keluaran mereka sebagai beras import samada dengan mencampurkan beras import atau memang beras tempatan sepenuhnya tapi dilabelkan sebagai import.

“Oleh itu, mereka boleh jual dengan harga tinggi tanpa kawalan. Kilang-kilang bumiputera yang nak berlaku jujur akan tersepit.Kalau mereka beli padi dengan harga rendah maka mereka tak akan dapat bekalan padi.

“Untuk bersaing dengan kilang-kikang besar bukan bumiputera, mereka juga perlu menawarkan harga belian padi yang tinggi. Tapi beras tempatan keluaran mereka perlu dijual dengan harga kawalan RM2.60/kg yang sudah tentu akan merugikan,” katanya.

Susulan itu, Dr Azman berkata, Kerajaan Persekutuan khususnya KPKM perlu ambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera yang bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak beberapa tahun ini.

Sebelum ini, sebuah media tempatan  melaporkan, pengilang-pengilang padi mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian mencecah sehingga RM900 juta setahun ekoran harga belian padi tinggi disebalik harga beras pula masih rendah.

Beras tempatan masih kekal pada harga RM26 bagi 10 kilogram yang tidak pernah dise¬mak sejak 16 tahun lalu iaitu harga belian padi sekitar RM950 per tan metrik ketika itu.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, daripada 127 kilang bumiputera yang aktif sejak 1998 namun kini hanya tinggal sembilan masih bertahan dan menunggu masa gulung tikar.

Katanya, kilang-kilang bumiputera yang tinggal itu hanya menunggu masa ‘bungkus’ sekiranya tiada langkah diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan iaitu kawalan harga beras putih tempatan, manakala beras putih import tidak dikawal harga siling.