Home Artikel PAS Wilayah

Kerajaan Perlu Serius Pertahankan Tulisan Jawi

2664
SHARE

KENYATAAN MEDIA

DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

KERAJAAN PERLU SERIUS PERTAHANKAN TULISAN JAWI
(22 Oktober 2018)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) meminta Kementerian Pendidikan agar segera memartabatkan tulisan jawi sebagai agenda penting kepada masyarakat di Malaysia khususnya orang Melayu. Ini kerana tulisan jawi semakin hilang dalam pengetahuan masyarakat terutama generasi muda dan semakin ramai umat Islam tidak tahu tulisan Jawi sama ada menulis atau membaca.

2. DUPWP bersetuju dengan kenyataan Dr Maszlee Malik bahawa tulisan jawi tidak perlu dihadkan untuk orang Melayu Islam, malah menjadi tulisan bagi semua kaum di negara ini kerana sejak dahulu hingga kini tulisan itu dicetak pada wang kertas negara. Jika hendak dibuat perbandingan, tulisan rumi yang diperke­nalkan penjajah masih sangat baharu jika dibandingkan de­ngan tulisan jawi dan hanya termaktub dalam akta selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi mengapa tulisan rumi telah mengambil tempat tulisan Jawi sebagai medium komunikasi penulisan di negara kita pada hari ini?

3. DUPWP menegaskan bahawa tulisan jawi tidak boleh dipinggirkan kerana ia melambangkan jati diri orang Melayu Islam yang seharusnya bergerak seiring dengan tulisan rumi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga secara jelas menyebut jawi merupakan tulisan bagi bahasa kebangsaan di samping tulisan rumi.

4. Jika kerajaan benar-benar serius menjaga tulisan jawi, maka ia mesti diterapkan dalam sistem pendidikan negara. Tulisan jawi mesti dimasukkan dalam subjek Bahasa Malaysia atau Pendidikan Islam untuk peperiksaan PT3, SPM dan STPM dan statusnya wajib lulis untuk kelayakan merit pelajar menyambung pelajaran.

5. Selain itu, kerajaan boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk NGO Islam, badan kerajaan dan swasta selain pejuang bahasa bagi mewujudkan kempen dan pembudayaan dalam masyarakat. DUPWP sanggup bekerjasama dengan kerajaan bagi memberikan komitmen tenaga, buah fikiran, kepakaran dan lain-lain bagi menggerakkan usaha ini. Tulisan Jawi juga boleh diwujudkan di mana-mana seperti papan tanda di premis awam atau kerajaan, pasaraya, dan taman-taman awam. Dokumen rasmi kerajaan juga boleh dihasilkan sebahagiannya dalam tulisan jawi bagi memastikan masyarakat mempelajari tulisan jawi secara tidak langsung.

6. Akhirnya, DUPWP benar-benar berharap kerajaan serius dan komited dalam memastikan tulisan Jawi diperkasakan dinegara ini. Jika bangsa Cina dan India berbangga dengan bahasa dan tulisan mereka, mengapa tidak orang Melayu berbangga dengan tulisan Jawi di negara ini? Selamatkan tulisan jawi bagi memelihara identiti unik masyarakat Malaysia.

USTAZ HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan