KUALA TERENGGANU – Pulau Duyong yang dikenali sebagai ‘Lidah Terengganu’ perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
“Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong.
“Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan ‘river cruise’.
“Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan ‘river cruise’,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak.
“Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.