KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melakukan penambahbaikan terhadap penganjuran Program Pelita Raya Terengganu dan Pesta Moreh tahun ini.
Hal ini adalah susulan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kemungkinan program berkenaan mengganggu suasana ibadah sepanjang Ramadan.
Dalam reaksi balas, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan program kekal selari dengan nilai-nilai Islam serta suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
“Penganjuran Program Pelita Raya Terengganu Tahun 2025 telah melalui beberapa penambahbaikan ketara, antaranya penyediaan kemudahan solat, kawasan penganjuran yang lebih luas serta parkir yang mencukupi demi keselesaan pengunjung.
“Jika dahulu program ini dilangsungkan pada malam tujuh likur, kini penganjurannya dibuat lebih awal iaitu pada minggu kedua bulan Ramadan sebagai satu bentuk penghormatan kepada 10 malam terakhir bulan Ramadan, yang diketahui umum merupakan masa paling utama untuk memperbanyakkan ibadah.
“Penganjuran Program Pelita Raya tahun ini turut menampilkan pengisian aktiviti keagamaan seperti ceramah agama pada malam pertama, sejajar dengan pembudayaan konsep Indahnya Hidup Bersyariat yang menjadi tonggak utama pentadbiran negeri,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Menurutnya, elemen kebudayaan dan keagamaan perlu digerakkan secara seiring bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan mesra Muslim.
“Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian. Sebaliknya, ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama.
“Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan.
“Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi pelancongan mesra syariah serta terus memartabatkan pembudayaan Indahnya Hidup Bersyariat, pihak Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dalam usaha merangka satu garis panduan khusus bagi pelaksanaan program-program sempena bulan Ramadan,” jelasnya.
Razali menegaskan bahawa garis panduan ini akan menjadi rujukan utama bagi memastikan semua bentuk penganjuran program kekal selari dengan nilai-nilai Islam, budaya tempatan, serta mematuhi enakmen dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, program Pelita Raya Terengganu yang telah memasuki edisi kelima tahun ini berjaya mencatat jangkaan pulangan pelaburan (ROI) melebihi RM400,000.00, sekali gus membuktikan impaknya terhadap ekonomi tempatan dan sektor pelancongan negeri.