Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri terus komited atasi isu gajah liar

30
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menyelesaikan isu gajah liar termasuk di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia / Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) / Sarawak Forestry Corporation (SFC).

“Tumpuan kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Sehingga Oktober 2024, sebanyak RM77,120 telah disalurkan kepada 24 pemohon di Terengganu bagi bantuan BKHT, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mangsa kerosakan yang disebabkan oleh serangan gajah liar.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Menurut Razali, RM6.5 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) di empat lokasi baru, termasuk Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman, serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan penempatan.

Tambah beliau, tindakan lain seperti pemantauan, kawalan, dan tembak halau juga dijalankan bagi menangani masalah gajah liar ini.

“Jika perlu, kaedah tangkap-pindah gajah akan dilaksanakan untuk mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat.

“Kerajaan negeri dan persekutuan terus komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, sambil menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dengan lebih berkesan,” jelasnya.