IPOH – Kerajaan Negeri menerusi Tabung Darul Iman telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital bagi menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlaku di Gerik, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh berhubung kos rawatan salah seorang mangsa, Nur Erika Elisha Mohd Zaidi.
Menurut beliau, jumlah kos rawatan yang dikenakan kepada pesakit tersebut adalah sebanyak RM18,588.
“Alhamdulillah, kita telah menghantar Surat Jaminan (Guarantee Letter) kepada pengarah hospital yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos tersebut melalui Tabung Darul Iman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Maliaman turut memberi jaminan bahawa keluarga mangsa tidak perlu risau atau bimbang mengenai beban kewangan rawatan kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri juga telah menanggung kos rawatan dua lagi mangsa iaitu Tuan Muhammad Adhan sebanyak RM2,900 dan Wan Masyitah sebanyak RM600, di mana kedua-dua mereka telah pun pulang ke rumah masing-masing di Besut.
“Mengikut maklumat terkini, masih terdapat beberapa lagi pelajar yang sedang menerima rawatan di beberapa hospital iaitu dua orang di Hospital Ipoh, seorang di Hospital Taiping, seorang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seorang di Hospital Jerteh dan seorang lagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).”
Beliau turut memaklumkan telah pun melawat salah seorang mangsa yang menerima rawatan di Hospital Jerteh baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar mana-mana keluarga mangsa yang masih memerlukan bantuan atau menanggung kos rawatan agar segera menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN masing-masing untuk tindakan lanjut dan bantuan daripada Tabung Darul Imam.
“Masyarakat juga diharap dapat sama-sama mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan kelapangan untuk menyambung semula pengajian mereka seperti biasa,” katanya.