KUALA TERENGGANU – 52 penduduk Kampung Pulau Sekati yang diarah mengosongkan kawasan kediaman mereka oleh pemilik sebenar tanah tersebut telah ditawarkan menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nenas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, selain itu, penduduk terbabit turut diberi pilihan untuk mendiami tanah milik kerajaan di Tepoh.
Katanya, tawaran itu adalah yang terbaik boleh diberikan kepada penduduk berkenaan untuk mereka mempunyai kediaman dengan kadar segera.
“Semasa peringkat awal kes ini iaitu sekitar setahun lepas, kita tawarkan tanah di Tepoh atau rumah pangsa di Bukit Nenas tetapi mereka tolak.
“Sebaliknya mereka minta untuk duduk di atas tanah rezab di tepi sungai di kawasan terbabit atas sebab-sebab tertentu, namun kerajaan tetap tidak memberi kelulusan atas faktor keselamatan.
“Setelah keputusan mahkamah perintah berpindah, baru mereka setuju untuk berpindah ke PPR Bukit Nenas,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal telah memasukan semula sembilan orang yang layak untuk memiliki rumah PPR di Bukit Nenas.
“Sementara seorang tidak layak kerana telah dapat Rumah Mampu Milik di Pulau Duyung,” jelasnya.
Tambah beliau, sementara menunggu untuk berpindah masuk ke PPR Bukit Nenas, pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu akan menanggung bayaran sewa rumah golongan asnaf di kalangan penduduk terbabit.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seramai 52 penduduk Kampung Pulau Sekati, di sini tidak lena tidur mengenangkan nasib mereka yang diarahkan mengosongkan kawasan kediaman sebelum 17 Januari ini.
Bukan saja mereka diarahkan berpindah, malah 10 kediaman terbabit selepas pemilik tanah mahu mengambil semula penempatan itu juga mesti dirobohkan sendiri penduduk.