KENYATAAN MEDIA : EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor
1. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa kesemua wang pemberian penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) yang diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah diperakaunkan ke dalam Tabung Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (Vot Amanah: 57041). Perbelanjaan dana ini adalah tertakluk kepada Arahan Amanah (Trust Deeds) tabung tersebut dan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
2. Dakwaan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapan bahawa Kerajaan Negeri gagal menyelenggara jalan-jalan Negeri adalah tidak benar dengan mengambil kira fakta bahawa sejumlah RM 600 juta telah diluluskan sebagai Siling Perbelanjaan MARRIS pada tahun 2017 bagi kesemua agensi pelaksana yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Selangor, dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan (9) Pejabat Daerah/Tanah (PDT). Jumlah siling tersebut adalah melebihi jumlah pemberian yang dijangka dari Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 yang dianggarkan sebanyak RM 496, 387, 420.00. Perbezaan jumlah terimaan dengan sasaran perbelanjaan tersebut akan ditampung menerusi baki terkumpul tabung Amanah MARRIS Negeri Selangor hasil penjimatan proses perolehan secara terbuka dan berintegriti.
3. Setakat 31 Julai 2017, sejumlah RM 268,114,178.59 atau 44.69% dari siling tahun semasa telah pun disalurkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor kepada agensi pelaksana khusus bagi kerja-kerja yang telah dilantik kontraktor dan sedia untuk proses pembayaran akhir sebaik sahaja kerja fizikal di tapak disempurnakan. Pencapaian ini dijangka terus meningkat memandangkan terdapat tuntutan berjumlah RM 198, 062, 387.60 yang sedang dalam proses dan semakan akhir di peringkat Perbendaharaan Negeri sebelum peruntukan disalurkan. Dengan mengambil kira data ini, komitmen perbelanjaan MARRIS Kerajaan Negeri setakat 31 Julai 2017 adalah berjumlah RM 466, 176, 566.19 atau 76.40%. Jika diteliti, rekod tersebut adalah jauh lebih baik berbanding prestasi perbelanjaan MARRIS pada tahun 2006 dan 2007 sewaktu dibawah Kerajaan Barisan Nasional. Rekod mendapati, Kerajaan Negeri Selangor menerima pemberian MARRIS berjumlah RM 174.1 juta dan RM 252.6 juta masing-masing pada tahun 2006 dan 2007. Walaubagaimanapun, perbelanjaan yang direkodkan pada kedua-dua tahun tersebut adalah berjumlah RM 27.5 juta (15.8%) pada tahun 2006 dan RM 139.04 juta (55.05%) pada tahun 2007 dari jumlah pemberian yang diterima.
4. Rekod dan statistik di atas menunjukkan Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan gerak kerja penyelenggaraan Jalan Negeri dengan amat baik dan kesemua proses adalah mematuhi tatacara perolehan dan kewangan semasa. Rekod perbelanjaan juga dilaporkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada setiap bulan dan selanjutnya dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Pemberian (JPP) MARRIS juga di peringkat MOF.
5. Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi komitmen dan prestasi Kerajaan Negeri dalam penyelenggaraan Jalan-Jalan Persekutuan di dalam Negeri Selangor apatah lagi mengambil kira terdapat jalan-jalan tersebut yang memberi impak tinggi kepada kemajuan ekonomi Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Jalan Persekutuan (FT180 dan FT181) di Pelabuhan Kelang misalnya adalah jalan pintu masuk utama (gateway) untuk perdagangan secara import dan eksport negara. Jalan Klang – Teluk Intan (FT05) merupakan jalan yang menghubungkan antara negeri (Inter-State) dan menjadi akses serta nadi kepada aktiviti ekonomi setempat. Kerajaan Negeri mengambil serius kerosakan di jalan-jalan tersebut dan mengambil maklum status jalan berkenaan yang merupakan Jalan Persekutuan. Oleh kerana penggunaan dana MARRIS khusus untuk pembaikan Jalan Persekutuan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka dana khusus untuk membaiki jalan-jalan tersebut haruslah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.
6. Justeru itu, Kerajaan Negeri percaya keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya akan sentiasa terjamin jika kedua-dua pihak samada Negeri atau Persekutuan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuhnya mengikut kerangka perundangan semasa tanpa mengambil pendekatan menunding jari dengan maklumat yang tidak benar dan mengelirukan.
Dikeluarkan oleh,
Y.B. TN. HJ. ZAIDY ABDUL TALIB
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor
31 Julai 2017