Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri sasar cukupkan keperluan makanan tempatan

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri berusaha mencukupkan keperluan tempatan dengan menaikkan kadar pengeluaran secara berperingkat sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antaranya dengan memajukan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

“Kita juga buat program khusus untuk pembangunan tanah terbiar, bagi bantuan modal kepada rakyat yang berhadapan dengan masalah modal, buat ladang kontrak untuk bantu dari segi pasaran, bantuan dari segi kaedah pemasaran dan banyak lagi.

“Kerajaan negeri juga fokuskan kepada tanaman yang menjadi keperluan rakyat,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang mengemukakan soalan mengenai apakah usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import ini di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Ridzuan mengenai bagaimana kerajaan menangani isu kemasukan sayur-sayuran dan buah-buahan import yang mengganggu kestabilan pasaran produk tempatan, beliau berkata faktor kawalan dan keseimbangan serta diselaraskan dengan keperluan sangat penting supaya apa yang dibawa masuk akhirnya tidak mengganggu projek tempatan.

“Kita akui tidak mampu mengeluarkan produk dengan harga sebagaimana produk import yang lebih murah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu tahu bahawa produk tempatan kita lebih selamat khususnya yang mempunyai pensijilan MyGAP,” ujarnya.

Sementara itu katanya, Malaysia telah menandatangani Asean Free Trade Area (AFTA) dimana melalui perjanjian ini, import dan eksport buah-buahan, sayur-sayuran komoditi serta hasil ternakan di antara negara-negara asian adalah bebas.

“Jadi pengusaha Malaysia boleh import dari luar dan boleh eksport ke luar yang mana ada pro dan kontra sebenarnya daripada perjanjian AFTA ini,” ujarnya.