Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri salur RM597,000 kepada Usahawan Terengganu

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 22 usahawan tempatan menerima pembiayaan berjumlah RM597,000 menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri kedua tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pembiayaan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sebagai usaha memperkasa sektor keusahawanan negeri.

“Setiap usahawan menerima pembiayaan antara RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan penyerahan surat tawaran TUGAS kali kedua tahun ini, yang berlangsung di Dewan Serbaguna YPU, hari ini.

Menurut beliau, penerima diseru memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin dan menjadikan pembiayaan tersebut sebagai amanah yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri.

“Saya berharap semua penerima menggunakan dana ini dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar untuk keuntungan diri, tetapi sebagai sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri,” tegasnya.

Tambah Ariffin, jumlah peruntukan bagi sesi kali ini meningkat berbanding sebelum ini, hasil daripada kadar bayaran balik yang memberangsangkan oleh peminjam terdahulu.

“Kita merekodkan lebih 80 peratus bayaran semula yang dibuat mengikut jadual, termasuk bayaran sewa bangunan, satu petanda positif terhadap disiplin dan kesungguhan usahawan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Program Kesedaran Halal yang dianjurkan hari ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada usahawan tentang tanggungjawab serta potensi besar dalam industri halal.

“Dalam era persaingan global, sijil halal bukan lagi sekadar lesen berniaga. Ia kini menjadi penanda aras kepercayaan pengguna dan kunci untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.