KEMAMAN – Kerajaan Terengganu menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai dan pelbagai bentuk bantuan lain kepada tiga keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang malam tadi.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, sebuah rumah akan dibina semula melalui peruntukan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), manakala dua buah rumah lagi akan dibaik pulih sepenuhnya dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan barangan keperluan asas serta sebuah kerusi roda baharu kepada salah seorang mangsa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), manakala MAIDAM bersetuju menanggung sepenuhnya kos rumah sewa mangsa sehingga rumah kekal siap dibina.
“Mengulas lanjut mengenai kejadian malam tadi, tiga buah rumah teres terjejas hampir 80 peratus dalam kebakaran, namun kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di tapak lokasi pada hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 malam dan menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba Kemaman dan Kijal ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak. Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 12.14 tengah malam,” katanya.
Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Salah seorang mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata dia bertindak pantas menyelamatkan suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, seorang OKU fizikal, serta anak perempuan mereka, Nur Aisy Aira, 7 tahun.
“Saya terbau hangit dan terdengar bunyi percikan api. Dapur dipenuhi asap. Saya gagahkan diri pimpin suami keluar, walaupun dia tidak mampu berjalan,” katanya.
Norhayati yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, tiada sebarang harta benda sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.
“Buat masa ini kami menumpang di rumah adik. Suami sudah lama tidak bekerja, hanya saya yang menyara keluarga. Bantuan segera daripada kerajaan negeri sangat melegakan,” ujarnya.