Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan negeri rancang buka tanah kerajaan perbanyakkan RMM

16
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bercadang membuka lebih banyak kawasan tanah kerajaan bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata 23 projek akan terlibat dalam perancangan tersebut.

“Ketika ini terdapat 23 projek dalam perancangan yang melibatkan pembinaan 4, 417 unit rumah bagi membantu golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri di seluruh negeri ini.

“Pembangunan ini bukan sahaja digerakkan oleh kerajaan negeri, tetapi turut melibatkan usaha sama dengan kerajaan persekutuan dan pemaju swasta.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap keluarga memiliki rumah sediri, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam persekitaran yang selesa dan harmoni.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu juga menaruh harapan yang tinggi agar hasil daripada kerjasama pihak yang terlibat bakal meningkatkan pembinaan RMM kepada rakyat.

Menurut beliau, pecahan bagi cadangan pembangunan projek perumahan mengikut daerah adalah seperti berikut; Kuala Terengganu (470 unit), Kuala Nerus (739 unit), Kemaman (843 unit), Dungun (255 unit), Marang (620 unit), Hulu Terengganu (800 unit), Besut (190 unit) dan Setiu (500 unit).

Tambahan lagi, tujuh pihak yang bertanggungjawab dalam menjayakan usaha sama tersebut termasuklah kerajaan negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta tiga pihak daripada sektor swasta.