Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri, FELCRA Wujud Jawatankuasa Khas Pantau Pematuhan Perjanjian Program JV

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bersama FELCRA telah mencapai persetujuan untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi pemantauan pematuhan Perjanjian Perkongsian Keuntungan bagi Program Usaha Sama (JV) antara kerajaan negeri dan FELCRA Berhad.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, jawatankuasa ini terdiri dari lima ahli iaitu tiga wakil atau nomini dari kerajaan negeri dan dua wakil atau nomini daripada FELCRA Berhad.

“Kerajaan negeri bersama dengan FELCRA telah bersetuju membentuk satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pemantau Projek yang terdiri daripada pegawai kewangan negeri atau wakil sebagai pengerusi, pengarah UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) atau wakil dan seorang wakil kerajaan negeri.

“Di pihak FELCRA akan diwakili oleh Pengarah Negeri FELCRA Berhad dan seorang wakil FELCRA. Jadi jawatankuasa ni akan bekerja secara bersama bagi memastikan semua terma-terma yang termaktub dan dipersetujui dalam perjanjian dipatuhi dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mengenai mekanisme pemantauan perjanjian tersebut.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu dan FELCRA telah memeterai perjanjian pada tahun 2015 bagi pengurusan tanah dan pembangunan oleh Felcra yang meliputi keluasan sebanyak 9651.19 hektar di seluruh negeri.

Menurut Dr. Azman, antara intipati utama perjanjian berkenaan ialah keuntungan projek yang dibangunkan oleh FELCRA tetapi belum mempunyai peserta akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk diagihkan semula kepada golongan miskin dalam bentuk bantuan bulanan.

Kadar perkongsian keuntungan bersih bagi program usahasama tersebut ialah 70 peratus kepada kerajaan negeri dan 30 peratus kepada FELCRA, melibatkan keluasan sekitar 4,440.95 hektar yang merangkumi 23 skim keseluruhan.

Sebanyak 10 peratus daripada keluasan tapak projek atau 444 hektar diberi milik kepada FELCRA, manakala 90 peratus selebihnya diletakkan di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) selepas penarikan balik pewartaan tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan penukaran status di bawah Kanun Tanah Negara.

“Proses pemberi milikan tanah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan belum selesai sepenuhnya kerana ada beberapa isu dan tuntutan daripada kerajaan negeri berdasarkan kepada perjanjian yang belum ditunaikan oleh pihak FELCRA.

“Dan pihak FELCRA Berhad telah datang berbincang dengan kerajaan negeri ke arah penyelesaian isu-isu berbangkit,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Azman turut memuji FELCRA yang memudahkan cara terhadap isu-isu terbabit.

“Dalam hal ini, saya beranggapan pengurusan FELCRA bersikap lebih positif berbanding dengan pengurusan FELDA yang memberikan respon yang sangat negatif dalam menyelesaikan isu 15,000 hektar tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang sawit oleh FELDA sejak 1985 tanpa dokumen hak milik yang sah,” ujarnya.